Mindef buka tender bekalkan 30 kenderaan ATV bernilai RM1.5 juta bagi rondaan sempadan | DagangNews Skip to main content

Mindef buka tender bekalkan 30 kenderaan ATV bernilai RM1.5 juta bagi rondaan sempadan

Kenderaan ATV jenis TGB Blade 600 LTX EPS milik Tentera Darat.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 8 April - Tentera Darat bakal menerima 30 buah kenderaan pelbagai bentuk muka bumi (ATV) bagi kegunaan rondaan di sempadan di seluruh negara.

 

Tender bagi membekalkan jentera tersebut telah dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef), namun nilainya tidak dinyatakan.

 

Namun, berdasarkan kontrak sebelum ini dan nilai semasa matawang Ringgit, kontrak itu dianggarkan kira-kira RM1.5 juta.

 

Tiga tender dikeluarkan bagi membekalkan 10 buah kenderaan ATV secara berasingan setiap satunya bagi kegunaan pasukan di sempadan utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

 

 

 


 

Atv
Penggunaan ATV dan motosikal scrambler meningkatkan lagi keupayaan mobiliti semasa rondaan.

 

Spesifikasi ATV tersebut hendaklah jentera baharu berkuasa sekurang-kurangnya 561cc dan mempunyai keupayaan pemanduan pacuan empat roda.

 

Pembida juga perlu membekalkan dua pasang topi keledar, dua pasang sarung tangan kulit dan dua set alas lutut dan siku.

 

Walaupun harga kenderaan tidak disebut tetapi berdasarkan harga semasa sebuah kenderaan ATV lengkap adalah RM40,000 hingga RM50,000 sebuah.

 

Ini merupakan perolehan kedua yang dibuat Mindef bagi membekalkan kenderaan ATV kepada Tentera Darat.

 

Atv
Kenderaan ATV mempunyai keupayaan pemanduan pacuan empat roda.

 

Atv

 

Tiga tahun lalu, Tentera Darat menerima 27 buah kenderaan ATV untuk keperluan Op Benteng.

 

Syarikat Go Auto Sdn. Bhd. membekalkan ATV dua tempat duduk jenis TGB Blade 600 LTX EPS buatan Taiwan.

 

TGB Motor Co. Ltd. ialah pengeluar terkemuka Taiwan bagi ATV berkualiti termasuk menembusi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat.

 

Kontrak ini termasuk dua topi keledar, dua pasang sarung tangan dan dua set lutut dan pelapik siku dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.2 juta. 

 

Bermakna setiap yang dibekalkan ATV berharga kira-kira RM45,500 sebuah.

 

Atv
Penambahan kenderaan ATV dapat menyuntik moral anggota di perbatasan.

 

Kenderaan tersebut bertujuan membantu meningkatkan aspek mobiliti dalam penugasan Op Benteng di sempadan negara.

 

Ini juga merupakan pertama kali Tentera Darat dibekalkan dengan kenderaan ATV untuk rondaan di sempadan selain motosikal jenis Scrambler dan lain-lain kenderaan pacuan empat roda.

 

Berdasarkan spesifikasi kenderaan pada kontrak kedua ini menunjukkan syarikat Go Auto Sdn Bhd mempunyai peluang cerah untuk memenangi tender kerana telah pun membekalkan ATV sama sebelum ini. 

 

Dengan menggunakan ATV jenis serupa ataupun daripada pembekal sama ini juga memudahkan aspek selenggaraan dan pembekalan alat ganti. - DagangNews.com