Minyak mentah global diunjur meningkat kepada AS$90 setong bagi suku keempat 2023, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Minyak mentah global diunjur meningkat kepada AS$90 setong bagi suku keempat 2023, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor minyak dan gas dan pada masa sama mengunjurkan harga minyak mentah Brent meningkat ke paras AS$90 setiap tong minyak mentah (bbl) pada suku keempat tahun ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan harga itu akan menjadikan purata 2023 kepada AS$84/bbl yang sebahagian besarnya didorong oleh pemotongan pengeluaran OPEC+ bagi mengimbangi kelemahan permintaan dari China.

 

Bagaimanapun, mereka menjangkakan harga purata minyak mentah Brent pada 2024 berada pada paras AS$86/bbl dengan harga dijangka lebih kukuh pada separuh pertama tahun hadapan sebelum berkurangan secara beransur-ansur apabila bekalan daripada pengeluar bukan OPEC meningkat.

 

"Secara keseluruhannya, kami percaya paras harga minyak mentah semasa adalah kondusif bagi peningkatan dalam belanjawan huluan manakala harga produk hiliran akan kekal di bawah tekanan kerana permintaan yang lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, prospek sektor hiliran kekal tidak stabil dengan pertumbuhan permintaan untuk produk dijangka perlahan pada 2023 disebabkan pemulihan China yang lemah.

 

Katanya, ia memberi kesan kepada harga petrokimia dengan harga polietilena (HDPE & LDPE) turun kepada paras AS$1,000 bagi setiap tan berbanding paras 2022 (AS$1,300 hingga AS$1,400 bagi seitap tan).

 

"Keadaan itu boleh bertahan sepanjang baki 2023 dan 2024 sehingga ekonomi global menunjukkan lebih banyak tanda pertumbuhan yang lebih kukuh.

 

"Dari segi penawaran, China dijangka masih meneruskan penambahan kapasiti petrokimia mereka (selaras dengan rancangan jangka panjang mereka untuk berdikari dalam petrokimia)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu memilih Yinson Holdings Berhad sebagai pilihan utama berdasarkan kadar tempahan FSPO yang tinggi dan rekod prestasi pelaksanaan projek yang kukuh yang meletakkan syarikat mendapat manfaat daripada permintaan yang kukuh.

 

"Dialog Group Berhad merupakan satu lagi pilihan utama kami berdasarkan pemulihan permintaan untuk simpanan terminal tangki bebas selepas pasaran FY23 yang lemah dengan penggunaan secara amnya melebihi 90% untuk terminal sedia ada," katanya.- DagangNews.com