PHNOM PENH 24 Feb - Meningkatkan eksport minyak sawit ke Kemboja dan import beras dari negara itu ke Malaysia, antara kaedah boleh dimanfaat untuk meningkatkan perdagangan dua hala kedua-dua negara.
Ia sebagai tambahan selain memperluaskan kolaborasi dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi kewangan, keselamatan siber, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan pemula niaga (startups).
"Saya akui bahawa perdagangan dua hala antara kita masih rendah dan perlu ditingkatkan lagi, selaras dengan potensi kedua-dua negara," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Ini termasuklah perdagangan dalam sektor perladangan dan komoditi. Malaysia menawarkan minyak sawit dan produk minyak sawit berkualiti tinggi kepada Kemboja dan saya amat berharap perdagangan kita dalam produk ini dapat dipertingkatkan," katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techno Hun Sen di Peace Palace, di sini hari ini.
Sementara itu, Hun Sen mencadangkan Malaysia mengimport lebih banyak beras dari negara itu, selain turut mempelawa pelabur Malaysia melabur dalam pengilangan beras.
"Saya dan Perdana Menteri Hun Sen sependapat agar komuniti perniagaan meneroka sektor-sektor ini bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara," kata Ismail Sabri.
Selain itu, Perdana Menteri yang gembira mendengar perkembangan kerjasama dalam sektor halal yang begitu memberangsangkan, turut berkata Malaysia akan terus membantu Kemboja untuk membangunkan ekosistem halal di negara ini.
Katanya, Malaysia mempunyai pakar industri halal yang terbaik dan mengalu-alukan lebih banyak lagi perniagaan di Kemboja untuk datang ke Malaysia dan memperkasakan kemahiran mereka dalam pembangunan industri halal.
Di samping itu, Perdana Menteri berkata kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan dengan serius berkenaan pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia dan keputusan mengenainya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
"Apabila sempadan antarabangsa kita dibuka nanti, Malaysia boleh meningkatkan lagi kerjasama dua hala dengan Kemboja dalam pelbagai bidang.
"Ini termasuklah pengiktirafan sijil vaksinasi COVID-19 secara timbal balas untuk memudahkan perjalanan serta banyak lagi inisiatif lain menyumbang kepada pemulihan pasca pandemik COVID-19.
"Saya percaya Malaysia dan Kemboja boleh bekerjasama dalam perkara ini, termasuk menerusi ASEAN," kata Ismail Sabri.
Jumlah perdagangan Kemboja-Malaysia melepasi A$500 juta (RM2.0 bilion) pada 2021, mengukuh 13.14 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut laporan, eksport Kemboja ke Malaysia berjumlah AS$101 juta (RM424.28 juta) pada 2021, meningkat sebanyak 2.62 peratus daripada AS$98 juta (RM411.68 juta) pada 2020, manakala import bernilai AS$399 juta (RM1.676 bilion), melonjak sebanyak 16.16 peratus tahun ke tahun daripada AS$343 juta (RM1.44 bilion) pada tahun sebelumnya.
Kemboja adalah tuan rumah bagi ASEAN 2022 dan negara keempat dilawati Ismail Sabri sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos tahun lalu, lapor Bernama.
Terdahulu Ismail Sabri melawat Indonesia, Singapura dan Brunei. - DagangNews.com