MISC dijangka catat perolehan RM1.87 bilion pada FY21 | DagangNews Skip to main content

MISC dijangka catat perolehan RM1.87 bilion pada FY21

Gambar www.misc.com.my

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Mei - Firma penyelidikan, MIDF Research terus optimis terhadap prospek perolehan syarikat logistik dalam industri minyak dan gas, MISC Berhad. 

 

Sehubungan itu, firma tersebut mengekalkan unjuran perolehan kumpulan sebanyak RM1.87 bilion dan RM2.06 bilion, masing-masing bagi tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22. 

 

“Dengan vaksin yang akan melonjakkan aktiviti ekonomi, ini seterusnya bakal menjadi pemangkin untuk menyuntik permintaan minyak mentah dan penggunaan tenaga yang akan mendatangkan manfaat kepada syarikat seperti MISC,” jelas penganalisisnya, Ummar Fitri dalam satu nota kajian hari ini. 

 

Katanya, perolehan suku pertama FY21 (1Q21) yang dicatatkan MISC, iaitu RM430.0 juta jatuh di bawah ramalan MIDF walaupun prestasi itu menyusut -45.5% tahun ke tahun (y-o-y).

 

Bagi prospek minyak mentah, Ummar mendapati permintaannya masih lagi tidak menentu dan bekalan minyak pula dipacu oleh pemotongan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) serta kemerosotan inventori di seluruh dunia. 

 

Ini sekali gus melonjakkan harga minyak melepasi AS$65 setong baru-baru ini. 

 

“Bagaimanapun, dengan program suntikan vaksin global yang berkesan, kami berpendapat bahawa pemulihan dalam sektor minyak dan gas akan beransur-ansur, dengan mendatar pada separuh pertama 2021 (1H21), sebelum berkembang pada separuh kedua tahun ini.

 

“Dalam pada itu, kelonggaran dalam pemotongan pengeluaran OPEC+, dijangka pada Mei dan seterusnya akan memberi keuntungan buat pemain industri kapal tangki. 

 

“Kedua-dua faktor itu itu diharap dapat diterjemahkan ke dalam peningkatan aktiviti kilang penapisan pada 2H21 yang akan memberi manfaat positif kepada permintaan kapal tangki,” tambah beliau. 

 

Mengambil kira kesemua faktor-faktor tersebut, MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham MISC dengan harga sasaran (TP) dikekalkan pada RM7.81 sesaham. 

 

Setakat 2.31 petang, harga saham MISC menyusut 5 sen kepada RM6.72. - DagangNews.com