MISC rugi RM19.1 juta pada suku kedua akibat rosot nilai kapal | DagangNews Skip to main content

MISC rugi RM19.1 juta pada suku kedua akibat rosot nilai kapal

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Ogos - MISC Bhd. merekodkan kerugian bersih berjumlah RM19.1 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding keuntungan bersih RM538.8 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 36.5% kepada RM3.21 bilion daripada RM2.35 bilion yang disumbangkan menerusi kesemua segmen perniagaan terutamanya penghantaran produk dan petroleum.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MISC, Yee Yang Chien berkata, kumpulan terus mencatatkan prestasi operasi yang teguh dan membanggakan pada suku kedua.

 

Namun, katanya, agak malang apabila prestasi keseluruhan suku kedua terjejas susulan rosot nilai perakaunan dalam beberapa syarikat pengangkut gas asli cecair (LNG) yang sudah wujud lebih lama termasuk pelarasan yang dibuat ke atas  perakaunan pajakan kewangan membabitkan projek kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Mero 3 yang sedang dilaksanakan.

 

"Melangkah ke hadapan, kami kekal fokus untuk memastikan kejayaan pelaksanaan projek kami yang sedang berjalan dan secara konsisten menyampaikan penyelesaian kami dengan selamat, cekap dan boleh dipercayai untuk menyokong keperluan ekosistem maritim global," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada suku kedua itu, MISC merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM460.9 juta, susut 26.5% daripada tempoh sama tahun sebelumnya berjumlah RM627 juta sebahagian besarnya disebabkan peningkatan kos pembinaan FPSO dalam aktiviti luar pesisir ekoran gangguan rantaian global dan sekatan pergerakan di China.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersihnya melonjak 24.2% kepada RM6.08 bilion berbanding RM4.89 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya disumbangkan menerusi kesemua segmen perniagaan. 

 

Selain itu, segmen Aset & Penyelesaian Gas juga mendapat manfaat daripada sumbangan hasil penuh oleh Pengangkut Etana Sangat Besar (VLEC) sejak kapal mereka dimulakan pada tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, MISC merekodkan untung bersih yang lebih rendah bagi tempoh itu sebanyak RM357.3 juta berbanding RM968.6 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan rosot nilai kapal, kos kewangan yang lebih tinggi serta bahagian keuntungan yang lebih rendah daripada usaha sama.

 

Mengenai prospek kumpulan, Yang Chien berkata, prospek jangka pendek dalam pasaran perkapalan LNG kekal positif berikutan permintaan global yang kukuh untuk LNG, terutamanya dari Eropah.

 

Katanya, sektor minyak dan gas huluan juga dilihat menyakinkan berikutan harga minyak yang tinggi, permintaan minyak global bertambah baik dan peningkatan perbelanjaan modal.

 

"Permintaan untuk FPSO juga dijangka kekal kukuh dengan peningkatan anugerah projek dijangka dalam beberapa tahun akan datang.

 

"Oleh itu, segmen perniagaan luar pesisir akan menilai secara aktif dan meninjau peluang yang ada dalam pasaran,” katanya.

 

Menurutnya, projek sedia ada dijangka terus berdepan tekanan terhadap jadual dan kenaikan kos yang timbul daripada sekatan pergerakan di China, tetapi usaha menanganinya sedang dilakukan untuk meminimumkan kesannya.

 

Dalam pada itu, katanya, portfolio kontrak jangka panjang sedia ada akan terus menyokong prestasi kewangan segmen perniagaan luar pesisir.

 

"Namun, kumpulan kekal berhati-hati terhadap prospek segmen marin dan kejuruteraan berat berikutan gangguan rantaian bekalan yang masih berpanjangan dan ketidaktentuan harga komoditi di sebalik peningkatan harga minyak menyokong perbelanjaan modal yang lebih tinggi oleh syarikat minyak utama," jelasnya. - DagangNews.com