MITI: Permohonan saham Bumiputera boleh dipohon sepenuhnya secara dalam talian | DagangNews Skip to main content

MITI: Permohonan saham Bumiputera boleh dipohon sepenuhnya secara dalam talian


KUALA LUMPUR 6 Dis - Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) telah menaik taraf Sistem Peruntukan Saham Khas Bumiputera (SPSKB) versi 2.0 secara dalam talian sepenuhnya bermula pada 6 Disember 2021.

 

Sistem Peruntukan Saham Khas Bumiputera versi 2.0 ini membolehkan para pelabur Bumiputera MITI yang berdaftar untuk membuat permohonan saham sepenuhnya secara dalam talian, berbanding sistem sebelum ini dimana para pelabur perlu memuat turun borang permohonan dan mengemukakan semula borang tersebut beserta dokumen sokongan secara fizikal ke Menara MITI melalui serahan tangan atau pos.

 

Ini merupakan hasil usaha dan inisiatif MITI ke arah menambah baik proses penyampaian perkhidmatan kepada Rakyat terutamanya mengambil kira perkembangan terkini yang menekankan aspek pendigitalan perkhidmatan.

 

Informasi terkini mengenai saham khas Bumiputera ini juga boleh dicapai di laman web MITI https://www.miti.gov.my/ atau di pautan https://sahamonline.miti.gov.my/ .

 

MITI adalah pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti dan meningkatkan status negara ini sebagai sebuah negara perdagangan yang kompetitif di peringkat global.

 

Objektif dan peranannya adalah berorientasikan ke arah memastikan pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia dan membantu mencapai matlamat yang dinyatakan di negara ini untuk menjadi sebuah negara maju.- DagangNews.com