MITI sasar 2 juta pekerja pembuatan capai imuniti kelompok September | Dagang News Skip to main content

MITI sasar 2 juta pekerja pembuatan capai imuniti kelompok September

NIBONG TEBAL 17 Jun - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan lebih 2 juta pekerja dalam sektor pembuatan di negara ini mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya September ini.

 

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perkara itu dijangka dicapai bergantung kepada bekalan vaksin termasuk tenaga kerja dari segi bilangan doktor dan pasukan perubatan yang dibekalkan bagi mempercepatkan usaha itu.

 

Dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memberi jaminan bekalan vaksin akan dipertingkatkan berkali ganda pada Julai dan Ogos ini.

 

"Kita berharap sebahagian bekalan vaksin ini dapat diperuntukkan kepada sektor ekonomi. Bagaimanapun keutamaan tetap diberikan untuk melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

"Ia juga penting untuk mempercepatkan proses imunisasi membabitkan petugas barisan hadapan, kumpulan terdedah, orang kelainan upaya (OKU) dan masyarakat umum.

 

"Namun pada masa sama, kita ingin melihat apabila mencapai imuniti kelompok, sektor ekonomi akan dibuka secara berperingkat. Maka sebelum kita mengambil keputusan membuka sektor ekonomi, kita mahu pekerja dapat suntikan vaksin segera.

 

"Ia dilihat dapat dipenuhi dalam tempoh masa terdekat dan pasti dapat dilaksanakan selewat-lewatnya September ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bukit Jawi Golf Resort, di sini sempena Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19, hari ini, lapor Berita Harian.

 

Mohamed Azmin berkata, sehingga kini kementeriannya menerima permohonan kira-kira 1,200 syarikat membabitkan 200,000 ekerja yang ingin menyertai PIKAS dan jumlahnya akan bertambah dari semasa ke semasa mengikut permohonan dibuat.

 

Terdahulu, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, kira-kira 2.25 juta pekerja dalam sektor pembuatan disasarkan menerima vaksin COVID-19 menerusi PIKAS.

 

Katanya, PIKAS dilaksanakan secara berperingkat dengan 150,000 dos vaksin COVID-19 diperuntukkan dalam fasa pertama untuk tempoh sebulan bermula semalam.

 

Menerusi pelaksanaan PIKAS, katanya, pekerja barisan hadapan ekonomi itu akan dilindungi daripada wabak COVID-19, sekali gus melancarkan pemulihan ekonomi negara. - DagangNews.com