KUALA LUMPUR 30 Sept - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang tamat sebentar tadi, membuat ketetapan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
"Keputusan mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik COVID-19, selepas runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana persengketaan dalaman politik sesama mereka.
"Justeru, semua jentera parti pada setiap peringkat diarah memuktamadkan segala persiapan dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran hinggalah tarikh PRU15," katanya ketika membacakan kenyataan media sejurus selesai mesyuarat itu, di sini, hari ini, lapor Berita Harian.
Mesyuarat bermula pukul 8.30 malam dan berlangsung hampir dua jam itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan dihadiri semua ahli MKT.
Ahmad berkata, UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat, membolehkan mandat sebenar diperoleh dan sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk.
Katanya, ia penting bagi memulihkan negara, terutama dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup rakyat, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus lebih baik untuk Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat MKT menyambut baik keputusan Kabinet mengarahkan siasatan lanjut serta tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan berhubung dakwaan salah laku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Katanya, mesyuarat juga menggesa supaya Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk 'My Story: Justice In the Wilderness', segera didedahkan kepada umum.
"Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh dalam muka surat 342 buku itu yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
"UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor pada 15 Mei lalu, yang mahu laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih segera dibentang dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah serta kedaulatan negara," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Pontian itu memaklumkan, mesyuarat MKT menerima peletakan jawatan Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan merakamkan ucapan terima kasih atas khidmatnya.
"Sebagai penggantinya, mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Mohd Hafarizam Harun sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang baharu.
"Seterusnya, adalah dimaklumkan bahawa mesyuarat MKT memecat Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO, berkuat kuasa serta-merta, mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO," katanya.
Mengenai pertemuan antara Ahmad Zahid dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula, Ahmad sekadar berkata, mesyuarat MKT mengambil maklum mengenai perkara itu. - DagangNews.com