MN Holdings intai peluang raih tender bagi kerja-kerja LSS berskala besar | DagangNews Skip to main content

MN Holdings intai peluang raih tender bagi kerja-kerja LSS berskala besar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - MN Holdings Berhad (MNHB) yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan tender sebagai penyelaras pengurusan dan kerja-kerja reka bentuk kejuruteraan bagi beberapa projek pencawang solar (LSS) berskala besar.

 

Firma utiliti dan kejuruteraan pencawang itu berkata, potensi kemenangan tender baharu itu akan menambah tempahan kumpulan yang kini berada pada kedudukan RM172.2 juta sehingga 9 Mac 2022 dengan 21.4% atau RM36.8 juta terdiri daripada kerja-kerja daripada segmen kejuruteraan pencawang, manakala baki 78.6% atau RM135.4 juta adalah kerja segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah.

 

Pengarah Urusan MNHB, Loy Siong Hay berkata, kumpulan itu berada pada kedudukan terbaik untuk mendapatkan tender tersebut selepas memiliki rekod cemerlang dalam mengendalikan projek LSS sebelum ini.

 

Beliau berkata, pihaknya berjaya mendapatkan tiga kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di bawah projek LSS2 sebagai subkontraktor.

 

"Kami terlibat dengan projek EPCC sebagai kontraktor utama yang telah memperoleh projek loji kuasa fotovoltaik solar di bawah program LSS, yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia pada 2016.

 

"Sebagai pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan pencawang, kami mampu mengambil alih peranan pengurusan dan penyeliaan keseluruhan projek, dan sumber untuk bahan binaan, peralatan pencawang dan sistem yang diperlukan untuk pemasangan dan pentauliahan,” katanya.

 

MNHB disenaraikan di Pasaran ACE Market bermula hari ini dengan peningkatan lima sen atau 24% berbanding tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 21 sen. - DagangNews.com