Dr. Mohamed Ackiel Mohamed
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Serba Dinamik Holdings Bhd. mengumumkan penyusunan semula pengurusan dalaman yang menyaksikan jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan diwujudkan dalam usaha memperkukuhkan lagi pentadbiran kumpulan.
Dr. Mohamed Ackiel Mohamed dilantik ke jawatan tersebut berkuat kuasa hari ini (1 Oktober 2021) dan turut menyaksikan beberapa pelantikan pengurusan utama seperti ketua serantau bagi beberapa kawasan perniagaan yang membabitkan operasi syarikat penyediaan minyak dan gas bersepadu global itu.
"Ketua serantau ini akan melapor secara terus kepada Mohamed Ackiel. Penyusunan semula ini juga membawa kepada pelantikan beberapa wajah baharu bagi mengetuai bahagian komunikasi korporat dan berkaitan pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat 30 September, Serba Dinamik memiliki 2,926 tenaga kerja terdiri daripada pekerja tetap, kontrak jangka panjang dan mengikut projek bagi kedua-dua operasi di peringkat domestik dan antarabangsa.
Sejak ditubuhkan, Serba Dinamik telah berkembang di lebih 25 buah negara. Oleh itu, dengan struktur baharu ini, kumpulan menyasarkan untuk terus memperkukuhkan penglibatannya dalam industri minyak dan gas, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan serta perniagaan teknologi maklumat.
Secara dasarnya, struktur organisasi baharu itu merangkumi perniagaan domestik dan global dengan tujuan utama untuk memperkukuhkan penawaran perniagaan Serba Dinamik kepada para pelanggannya selain meningkatkan kawalan dalaman dan tadbir urus kumpulan.
Serba Dinamik berkata, lebih banyak tumpuan akan diberikan kepada operasi luar negara dan pengembangan wilayah untuk pertumbuhan global.
Bagaimanapun, katanya, tidak ada perubahan bagi jawatan ketua kewangan dengan Azhan Azmi kekal sebagai Ketua Pegawai Kewangan kumpulan.
"Sementara itu, pengasas Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah kekal sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif yang bertanggungjawab untuk memantau keseluruhan operasi di peringkat domestik dan antarabangsa," jelasnya.
Pada masa ini, Mohamed Ackiel merupakan Naib Presiden Kanan Serba Dinamik (Projek Khas), jawatan yang memerlukan beliau menerajui transformasi digital syarikat dan beberapa inisiatif utama serta projek di Asia Barat, Asia Tengah dan Americas.
"Dengan memiliki pengalaman industri dan akademik lebih 18 tahun, beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Komputer dan Kejuruteraan Malaysia (UniMy), institusi pengajian tinggi yang dimiliki sepenuhnya oleh Serba Dinamik," katanya. - DagangNews.com