KUALA LUMPUR 6 Sept - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melantik Mohd Zaid Zakaria sebagai Ketua Eksekutif berkuat kuasa pada 1 September 2023.
Beliau menggantikan Datuk Ir Ahmad ‘Asri yang menamatkan kontrak perkhidmatan pada 30 Ogos 2023, setelah berkhidmat selama 38 tahun dalam perkhidmatan awam, kata CIDB dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini Mohd Zaid memegang jawatan Timbalan Ketua Eksekutif I CIDB dan telah berkhidmat selama 22 tahun dalam organisasi tersebut dengan mengetuai Sektor Pembangunan Teknologi, Sektor Kontraktor dan Levi, Sektor Penguatkuasaan dan Pengarah Negeri CIDB Selangor.
Beliau juga telah berkhidmat dengan kerajaan dan terlibat dalam industri pembinaan selama lebih daripada 34 tahun, termasuk sebagai juruukur bahan di Jabatan Kerja Raya selama 14 tahun.
Mohd Zaid merupakan pemegang Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Awam (Kejuruteraan Pembinaan dan Pengurusan Projek) dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Ukur Bahan dari Liverpool Polytechnic, United Kingdom. - DagangNews.com