Momentum Globetronics terjejas, MIDF semak turun unjuran pendapatan | DagangNews Skip to main content

Momentum Globetronics terjejas, MIDF semak turun unjuran pendapatan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - MIDF Research menyemak semula pendapatan Globetronics Technology Bhd. berikutan prestasi kewangannya bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021 kurang memberangsangkan dan tersasar daripada jangkaan. 

 

Bagi tempoh tersebut, pendapatan dinormalisasi berjumlah RM32.2 juta, sedikit menurun 0.5% tahun ke tahun manakala hasil juga susut 4.2% kepada RM157.5 juta. 

 

"Ini menjadikan prestasi kewangannya bagi tempoh 9 bulan ini adalah di bawah anggaran kami dan juga konsensus, masing-masing merangkumi 48.4% dan 63.4% daripada unjuran pendapatan.

 

"Sehubungan itu, kami menyemak turun pendapatan bagi tahun kewangan 2021/2022 sebanyak 3 hingga 13%," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Untung bersih Globetronics bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 juga susut 9.8% tahun ke tahun kepada RM16.3 juta manakalan pendapatan menyusut 15.1% kepada RM55.66 juta.

 

Keadaan ini disebabkan terutamanya pengurangan jumlah muatan daripada pelanggan tertentu dan kemerosotan skala ekonomi. 

 

Kumpulan juga menjangkakan prestasi kewangannya akan terus terjejas akibat penularan wabak  COVID-19.

 

MIDF Research berkata, Globetronics, kebiasaannya, merekodkan prestasi yang lebih baik pada suku ketiga tetapi momentumnya terjejas akibat perkembangan yang perlahan dalam projek baharu dan sekatan pergerakan. 

 

"Namun begitu, di samping pemulihan sektor semikonduktor, kami masih berharap kumpulan terus mencatat pertumbuhan terutama menerusi kejayaan membangunkan alat pengesan generasi baharu dan produk baharu yang akan dikomersialkan akhir tahun ini hingga separuh kedua 2022," katanya.  

 

Dengan mengambil kira prospek kumpulan yang masih kukuh dalam tempoh jangka masa panjang sebagai pakar dalam pengeluaran produk pengesan berteknologi tinggi, firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Globetronics. 

 

"Kami juga memulakan asas penilaian bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dengan harga sasaran baharu pada RM2.53 (berbanding RM3.22 sebelum ini). 

 

"Harga sasaran baharu ini ditambat dengan pendapatan sesaham FY22 sebanyak 10.8 sen berbanding purata 2 tahun nisbah harga kepada pendapatan (PER) pada 23.4 kali," jelasnya. 

 

Setakat 11 pagi ini, harga saham Globetronics susut 4 sen atau 1.86% kepada RM2.11 dengan 969,500 saham diniagakan. - DagangNews.com