Moody's Analytics unjur KDNK suku keempat berkembang 3% | DagangNews Skip to main content

Moody's Analytics unjur KDNK suku keempat berkembang 3%

KUALA LUMPUR 7 Feb  - Moody's Analytics mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berkembang 3% tahun ke tahun bagi suku keempat 2021 berbanding penguncupan 4.5% pada suku sebelumnya.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan prestasi KDNK bagi suku keempat pada 11 Februari ini.

 

Malah, Moody's turut menjangkakan pengukuhan eksport yang berterusan dan peningkatan semula penggunaan swasta menyokong prestasi ekonomi suku akhir Malaysia.

 

“Kenaikan kembali kes COVID-19 secara ketara telah membebankan ekonomi bagi sebahagian besar tempoh tahun lepas, mengakibatkan penguncupan suku tahun berturut-turut apabila isi rumah dan pelaburan swasta menjadi kurang aktif.

 

“Kelemahan permintaan domestik adalah lebih daripada mengimbangi peningkatan yang dicatatkan daripada kedudukan dagangan yang agak kukuh sepanjang tempoh ini namun, keadaan domestik bertambah baik pada suku terakhir,” jelasnya dalam laporan itu seperti dilapor Bernama.

 

Firma tersebut berkata demikian dalam Ulasan Ekonomi Asia Pasifik untuk minggu 7 hingga 11 Februari 2022 yang dikeluarkan hari ini.

 

Menurut Moody’s, kadar vaksinasi yang lebih tinggi dan pelonggaran sekatan pergerakan mendorong kepada pemulihan ketara perbelanjaan runcit sejak Oktober 2021.

 

Pada suku ketiga 2021, KDNK Malaysia menguncup sebanyak 4.5% disebabkan pelaksanaan semula langkah pembendungan COVID-19 yang ketat di seluruh negara pada Julai lalu.

 

Bagaimanapun, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ekonomi Malaysia pada 2021 masih kekal pada landasan untuk mencapai unjuran 3 hingga 4%.

 

Jumaat lalu, beliau turut menegaskan bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang antara 5.5 hingga 6.5% tahun ini, disokong oleh pertumbuhan berterusan permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi. 

 

Malaysia, katanya, dalam kedudukan yang mantap untuk meraih keuntungan apabila pertumbuhan dan perdagangan global melantun semula, seperti yang diperhatikan pada 2021.- DagangNews.com