KUALA LUMPUR 7 Okt. - Moody’s Investors Service menyemak semula unjuran harga minyak mentah kepada AS$50 hingga AS$70 setong dalam tempoh jangka masa sederhana, mencerminkan jangkaannya terhadap peningkatan berterusan kos pengeluaran sejajar dengan pemulihan permintaan.
Naib Presiden Kanannya, Elena Nadtotchi berkata, julat harga bagi tempoh sederhana kini kembali semula sebelum merebaknya wabak COVID-19.
"Kekangan bekalan dijangka terus menyokong momentum yang kukuh bagi harga minyak mentah," katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilapor Bernama.
Pada masa sama, beliau berkata, sektor minyak huluan akan terus melabur di bawah paras sebelum pandemik di sebalik pemulihan harga gas asli dan minyak pada tahun ini.
Malah, syarikat penerokaan dan pengeluaran (E&P) turut memberi petunjuk bahawa kekangan perbelanjaan akan berterusan pada 2022.
"Perbelanjan huluan hanya meningkat sedikit selepas mengalami penurunan mendadak sehingga 30% pada tahun lalu.
"Pengeluar pula masih merancang untuk melabur secara konservatif pada tahun hadapan tetapi kami menjangkakan pertumbuhan perbelanjaan menyederhana disebabkan harga komoditi yang tinggi," jelasnya.
Sementara itu, Naib Presidennya, Sajjad Alam berkata, analisis menunjukkan syarikat huluan perlu meningkatkan perbelanjaan mereka secara besar-besaran dalam tempoh sederhana bagi menggantikan sepenuhnya rizab dan mengelakkan penurunan dalam pengeluaran pada masa hadapan.
"Bagi firma E&P yang besar, bersepadu dan syarikat minyak nasional semuanya akan mengekalkan pengeluaran sepanjang 2022, meningkatkan bekalan secara berperingkat-peringkat bagi memenuhi semula kadar permintaan dan peningkatan ruang lingkup pengeluaran yang berbeza-beza mengikut syarikat dan rantau," katanya. - DagangNews.com