MOSTI sasar komersialkan 500 produk, teknologi dan perkhidmatan R&D tempatan secara global | DagangNews Skip to main content

MOSTI sasar komersialkan 500 produk, teknologi dan perkhidmatan R&D tempatan secara global

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan untuk mengkomersialkan sebanyak 500 produk, teknologi dan perkhidmatan yang dihasilkan daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan menerusi Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) menjelang 2025.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sejak MCY dimulakan pada 2016, program itu telah berjaya mengkomersialkan sebanyak 434 produk, teknologi serta perkhidmatan ke pasaran tempatan dan antarabangsa dengan nilai jualan melebihi RM476 juta. 

 

“Untuk makluman, tahun 2021 merupakan tahun keenam pelaksanaan MCY dan merupakan permulaan fasa MCY 3.0 yang bermula dari tahun 2021 hingga 2025.

 

“Dengan tema ‘MCY Goes Global’ (MCY Ke Peringkat Global), penekanan diberikan kepada inisiatif pengkomersialan R&D  ke peringkat global,” katanya dalam ucapan secara maya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini, lapor Bernama.

 

MCY turut mengiktiraf pencapaian penyelidik dan usahawan tempatan yang telah berjaya mengkomersialkan R&D mereka di pasaran tempatan dan antarabangsa menerusi pelbagai anugerah.

 

Selain itu, Adham berkata kementeriannya bersama Agensi Nuklear Malaysia (ANM) akan segera memulakan penyelidikan berkenaan penambahbaikan daya tahan benih padi di dalam negara. 

 

BACA JUGA: PM seru lebih ramai penyelidik tempatan bangunkan inovasi agromakanan negara

 

"Variasi benih padi yang ditambah baik ini kelak akan dinamakan sebagai IS22 sebagai simbol legasi yang amat berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang banyak memberikan pandangan terkini dan terbaik," katanya. 

 

Semalam, Ismail Sabri mengarahkan pembangunan varieti padi baharu dan meminta MOSTI dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk bekerjasama bagi menghasilkan benih padi yang tidak rosak apabila ditenggelami air dan tidak menggunakan air yang banyak. - DagangNews.com