MPay transformasi sistem pembayaran digital Majlis Bandaraya Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

MPay transformasi sistem pembayaran digital Majlis Bandaraya Pulau Pinang

KUALA LUMPUR 20 Jan - ManagePay Systems Berhad (MPay) melalui anak syarikat milik penuhnya, ManagePay Services Sdn. Bhd. (MPSB) dianugerahkan projek menyediakan sistem pembayaran digital Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini.

 

Ahli Lembaga Pengarah MPay dalam pengumumannya melalui Bursa Malaysia berkata, projek Smart MBPP tersebut telah dianugerahkan kepada MPSB melalui surat tawaran pada 13 Januari lalu.

 

MBPP merupakan satu daripada 19 buah majlis atau dewan bandaraya dengan keseluruhan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berjumlah 151 PBT di seluruh negara.

 

“MPSB akan menyediakan platform perkhidmatan pembayaran bil tanpa tunai menerusi jompay, perbankan internet, e-dompet, Visa dan MasterCard dalam tempoh 6 bulan tarikah surat tawaran dikeluarkan.

 

“Selain itu, Smart MBPP turut berfungsi sebagai ‘Pusat Sehenti Pintar’ untuk menyokong semua kemudahan disediakan majlis itu ke dalam aplikasi telefon malah laman web yang responsif,” jelas kenyataan itu.

 

Pada pertengahan tahun lalu, Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman menjadi pemegang saham utama MPay yang merupakan penyedia pembayaran elektronik ‘end-to-end’ bagi bank, institusi kewangan, peruncit dan pemegang kad yang beroperasi di negara.


 

Datuk Wira Dr Azizan Osman
                                                                                               Datuk Wira Dr Azizan Osman

 


Tambahnya, platform itu nanti akan memudahkan penduduk dan peniaga-peniaga di Pulau Pinang membuat tempahan kemudahan, permohonan lesen perniagaan, projek pembangunan, pembayaran penilaian, kompaun dan sebagainya.

 

“Smart MBPP ini bagi tempoh 5 tahun dan akan diperbaharui bagi lanjutan 2 tahun.

 

“Pihak MPSB telah menerima dan bersetuju dengan surat tawaran itu pada 17 Januari lalu,” ujarnya. - DagangNews.com