MPC cadang pinda Akta 408, lonjak produktiviti negara | DagangNews Skip to main content

MPC cadang pinda Akta 408, lonjak produktiviti negara

KUALA LUMPUR 31 Mac - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sedang meneliti untuk meminda Akta (Memperbadankan) Perbadanan Produktiviti Malaysia 1996 (Akta 408) bagi mengukuhkan tadbir urus dan fungsinya dalam membantu memulihkan industri dan melonjakkan produktiviti negara.

 

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, pindaan ini penting bagi mengukuhkan lagi peranan MPC dalam membantu mewujudkan ekosistem yang mesra perniagaan agar pihak industri dapat bangkit semula selepas pandemik COVID-19.

 

“Saya berharap hasil pindaan ini dapat membantu MPC menyampaikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan bagi melonjakkan produktiviti ke arah kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara”, katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

 

Satu Bengkel Permulaan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta MPC 2023 telah diadakan baru-baru ini bagi membincangkan dan mengenal pasti isu dan cadangan-cadangan bagi menambah baik Akta 408 agar kekal relevan.

 

Turut hadir dalam bengkel ini adalah wakil Pengurusan MPC, Bahagian Perancangan Strategik dan Pejabat Perundangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

Menurut Abdul Latif, MPC turut komited melaksanakan proses pindaan ini berpandukan Dasar Negara bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP) yang telah dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 30 Julai 2021. 

 

Katanya, MPC melalui Regulatory Coordinator (RC) di MITI telah menghantar Notifikasi Peraturan secara atas talian yang mana keputusannya perlu melalui proses konsultasi awam.

 

"Perbadanan ini merancang untuk melaksanakan rundingan secara bersemuka dan maya melalui platform Unified Public Consultation (UPC) pada Mei hingga Julai 2022 setelah mendapatkan persetujuan dasar berkenaan cadangan pindaan Akta MPC.

 

"Proses ini akan melibatkan pihak berkepentingan di sektor swasta dan awam bagi menghasilkan akta yang tangkas, telus dan menyeluruh," jelasnya.

 

Berdasarkan rekod, Akta MPC dipinda kali terakhir pada 2008 dan hanya melibatkan pindaan nama daripada Perbadanan Produktiviti Negara kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia. - DagangNews.com