MPC, SAMENTA perkenal program SDTP bantu pendigitalan PKS | DagangNews Skip to main content

MPC, SAMENTA perkenal program SDTP bantu pendigitalan PKS

Datuk William Ng dan Datuk Abdul Latif Abu Seman
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) memperkenalkan Program Transformasi Digital dan Produktiviti PKS (SDTP) untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor perkhidmatan dan profesional untuk mendigitalkan perniagaan mereka. 

 

Sebagai sebahagian daripada program SDTP, MPC dan SAMENTA telah melancarkan Buku Panduan Produktiviti Digital untuk PKS berasaskan perkhidmatan, yang boleh dimuat turun secara percuma dari laman web kedua-dua organisasi. 

 

PKS juga boleh mengambil Penilaian Kesediaan Produktiviti Digital (DPRA) untuk menilai tahap kesediaan mereka untuk transformasi digital, diikuti dengan sesi bimbingan bersama pakar pendigitalan terpilih melalui Klinik Maya Produktiviti Digital (DP-VAC).

 

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, beberapa tahun kebelakangan ini cukup mencabar kerana pandemik COVID-19 dan iklim perniagaan yang sukar. 

 

Beliau berkata, akibatnya kebanyakan perniagaan melihat margin mereka berkurangan dan kos menjalankan perniagaan meningkat. 

 

Dengan memanfaatkan peningkatan produktiviti, perniagaan dapat meraih lebih banyak keuntungan dan dengan itu, bertahan dan berkembang maju dalam menghadapi segala kemungkinan.

 

“Kerjasama dengan SAMENTA ini terbuka kepada semua PKS, dengan SAMENTA bertindak sebagai penyelaras pelaksanaan. Melalui Nexus Produktiviti Peruncitan dan Makanan dan Minuman yang diterajui sektor swasta, kumpulan pertama intervensi akan menyasarkan PKS dalam sektor runcit, sebelum dilancarkan ke semua sektor lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengerusi SAMENTA, Datuk William Ng pula berkata, pihaknya komited untuk menjadi suara PKS dan membantu PKS mengembangkan perniagaan mereka. 

 

"Kami percaya SDTP akan dapat mendorong semua PKS untuk memulakan proses transformasi digital mereka. Pandemik COVID-19 tidak memilih saiz atau latar belakang korbannya. 

 

"Ramai PKS tumbang dan menggulung tikar akibat pandemik ini. Kami berharap melalui SDTP, PKS dapat dibimbing untuk mengatasi cabaran seumpamanya di masa hadapan. 

 

"Melalui pendigitalan, PKS dapat meningkatkan produktiviti mereka, meningkatkan margin mereka dan lebih bersedia menghadapi sebarang gangguan kepada perniagaan mereka," katanya.

 

Dalam pada itu, SAMENTA turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan beberapa persatuan industri berasaskan runcit sebagai sebahagian daripada pendekatan kelompok industri untuk membantu lebih banyak PKS mendigitalkan perniagaan mereka. - DagangNews.com