MPN minta PM ambil perhatian isu kekurangan tenaga kerja asing - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

MPN minta PM ambil perhatian isu kekurangan tenaga kerja asing - Muhyiddin

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Majlis Pemulihan Negara (MPN) meminta supaya Perdana Menteri mengambil perhatian terhadap isu kekurangan tenaga kerja asing yang terus membelenggu industri perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekaligus menjejaskan produktiviti dan merencat proses pemulihan negara. 

 

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu kekurangan tenaga kerja asing di negara ini masih meruncing dan tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan walaupun MPN telah membangkitkan isu itu sejak Disember tahun lalu. 

 

Beliau berkata, bagi menangani masalah itu, MPN dalam mesyuaratnya pada 2 Disember 2021 telah memperakukan kepada kerajaan supaya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja Dalam PMKS yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM). 

 

Jelasnya, tugas jawatankuasa itu ialah untuk meneliti dengan terperinci apakah permasalahan dalam pengambilan pekerja asing dan mencari jalan penyelesaiannya dengan kadar segera.

 

"Namun begitu, dalam beberapa mesyuarat MPN selepas itu, wakil PMKS masih menimbulkan masalah kekurangan tenaga kerja asing. MPN dalam beberapa mesyuarat sebelum ini telah menjemput KSM untuk membentangkan kemajuan status penggajian pekerja asing.

 

"MPN dimaklumkan sebanyak 1,152,276 permohonan kuota pekerja asing telah diterima daripada semua sektor industri daripada Januari hingga September 2022. Daripada jumlah ini, sebanyak 467,223 (40.5%) kuota telah diluluskan tetapi hanya 76,000 (6.5%) pekerja asing telah dibawa masuk ke negara ini setakat 12 September 2022," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Muhyiddin, data ini menunjukkan jumlah kemasukan pekerja asing adalah jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar industri. 

 

 

mpn
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan mesyuarat MPN pada 8 Februari 2022.

 

 

Beliau berkata, MPN berpandangan langkah-langkah segera mestilah diambil oleh KSM untuk mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing yang diperlukan semua sektor industri bagi menyokong proses pemulihan negara. 

 

"Saya juga meminta supaya Perdana Menteri mengambil perhatian utama terhadap isu ini dan memastikan permasalahan yang dihadapi oleh industri dapat diselesaikan dengan seberapa segera. Untuk jangka masa panjang, penekanan juga mesti terus diberikan kepada penggunaan teknologi dan automasi untuk mengurangkan penggantungan kepada pekerja asing," katanya. 

 

Terdahulu, beliau berkata, sehingga kini sebanyak 95 perakuan MPN telah dibawa untuk pertimbangan kerajaan menerusi Memorandum Jemaah Menteri. Daripada segi pecahannya, 69 perakuan adalah berkaitan dengan isu-isu utama yang mempunyai impak terhadap pemulihan ekonomi dan sosial dan 26 keputusan adalah berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran. 

 

 

mpn

 

 

"Sebanyak 86 keputusan telah diluluskan oleh Kabinet, manakala 9 keputusan lagi sedang menunggu keputusan Kabinet.

 

"Antara perakuan utama yang dikemukakan oleh MPN untuk  pertimbangan dan tindakan segera kerajaan ialah berkaitan masalah kekurangan tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor terutamanya perladangan yang dilaporkan mengalami kerugian hampir RM20 bilion pada tahun 2021," katanya.

 

Katanya, MPN telah mencadangkan inisiatif-inisiatif yang berorientasikan tindakan dan segera untuk dipertimbangkan oleh kerajaan berkaitan perkara-perkara yang mendesak ini. 

 

"Walaupun kabinet telah meluluskan 90.5% daripada perakuan-perakuan MPN, prestasi pelaksanaan perakuan-perakuan ini adalah tidak memuaskan. 

 

"Daripada 69 perakuan berkaitan isu-isu utama yang saya sebutkan, hanya 16 perakuan atau 23.2% telah selesai dilaksanakan. Manakala 30 perakuan (43.5%) masih dalam pelaksanaan, 14 perakuan (20.3%) belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada kementerian atau agensi berkaitan dan 9 perakuan (13%) masih menunggu keputusan Kabinet," katanya. - DagangNews.com