MPOB hasil formula baja nutrien seimbang  | DagangNews Skip to main content

MPOB hasil formula baja nutrien seimbang 

Penggunaan baja MPOB F3 dapat menjimatkan kos dan meningkatkan keupayaan pengambilan nutrien oleh akar pokok.

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menghasilkan inovasi formulasi baja yang mengandungi nutrien seimbang yang dapat meningkatkan pengeluaran hasil buah sawit. 

 

Inovasi baja sebatian itu yang dikenali MPOB F3 dihasilkan sekumpulan penyelidik MPOB yang diketuai oleh Ahmad Afandi Murdi.

 

Ketua Pengarah MPOB Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB F3 adalah dalam bentuk butiran padat dan diformulasi dengan nisbah seimbang nitrogen, fosfat, kalium, magnesium dan borate yang dirumus khas untuk pokok sawit yang ditanam di tanah mineral. 

 

Katanya, formulasi baja ini mengandungi nutrien seimbang juga sesuai untuk kelapa sawit yang ditanam di pelbagai jenis tanah.

 

“Pokok sawit perlu pembajaan yang sempurna termasuk kandungan nutrien seimbang untuk pengeluaran hasil yang tinggi. 

 

"Walaupun keperluan nutrien adalah khusus mengikut keadaan setempat, penggunaan nisbah nutrien yang seimbang dalam baja sebatian akan memberikan input nutrien yang bersesuaian pada lokasi yang berbeza," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, penggunaan baja secara sistematik akan meningkatkan pengeluaran buah tandan sawit dan menjana pendapatan yang lebih tinggi bagi pengusaha ladang dan pekebun kecil.

 

Katanya, penggunaan baja MPOB F3 dapat menjimatkan kos kerana berupaya mengurangkan kehilangan nutrien dan meningkatkan keupayaan pengambilan nutrien oleh akar pokok.

 

"Pengenalan formulasi baja seimbang ini dapat mengurangkan kesan negatif persekitaran yang berkaitan dengan kadar penggunaan baja yang berlebihan, penurunan kualiti tanah dan pencemaran dari logam berat," jelas beliau.

 

Penyelidikan formulasi baja seimbang bermula sejak 1990 dan pemilihan bahan mentah sebagai sumber baja untuk formulasi adalah berdasarkan keberkesanan kos, konsistensi kandungan nutrien, sesuai untuk pengadunan dan penyebatian. 

 

Rumusannya merangkumi perapi atau zeolite untuk meningkatkan pemulihan nutrien oleh tanaman sawit.

 

MPOB telah menandatangani perjanjian dengan FGV Fertiliser Sdn. Bhd. bagi pengkomersialan baja MPOB F3. 

 

Majlis penyerahan dokumen perjanjian antara MPOB dan FGV Fertiliser telah disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali semasa Majlis Pra-Pelancaran Webinar TOT 2021, April lalu. - DagangNews.com