MRANTI letakkan hala tuju pengkomersialan Malaysia lebih berfokus | DagangNews Skip to main content

MRANTI letakkan hala tuju pengkomersialan Malaysia lebih berfokus

Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Dzuleira Abu Bakar

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Pembentukan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) yang menggabungkan Technology Park Malaysia (TPM) dan MaGIC meletakkan misi untuk memacu 'pulangan idea' yang lebih tinggi dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada ruang pengkomersialan.

 

MRANTI bertujuan mempercepatkan proses, meningkatkan profil dan mengembangkan portfolio teknologi sedia untuk memasarkan dan inovasi yang dibangunkan di Malaysia.

 

Program MaGIC memberi impak kepada 2,800 syarikat pemula dan mewujudkan nilai ekonomi sebanyak RM2.1 bilion manakala TPM pula membawa pelaburan lebih RM1 bilion dengan menyediakan infrastruktur bertaraf dunia dan ekosistem perniagaan yang komprehensif. 

 

Pengerusi TPM, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pihaknya mahu mengembalikan kerancakan yang amat diperlukan ekonomi dan membantu industri bangkit semula daripada pandemik. 

 

"Ini adalah pemangkin yang amat diperlukan untuk TPM memainkan peranan utama melalui MRANTI dalam mempercepatkan ekosistem, mengukuhkan saluran idea, di samping memanfaatkan bakat dan kecekalan yang diperlukan untuk membantu organisasi mengenal pasti, membangun dan membolehkan inovasi," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

Baca : MOSTI umum penggabungan TPM, MaGIC kini dikenali sebagai MRANTI

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Dzuleira Abu Bakar berkata, mandat yang diberikan kepada MRANTI adalah untuk membawa ekosistem maju ke hadapan dan bergerak pantas. 

 

"Ia bukan lagi mengenai hanya 1 atau 10 syarikat, tetapi menambah nilai merentasi semua kitaran penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan, yang bertujuan untuk mengukuhkan bekalan inovasi dengan sumber untuk mempercepatkan pengkomersialan idea dan konsep yang inovatif," jelas beliau. 

 

MRANTI yang diilhamkan daripada Meranti, pokok tropika tertinggi di dunia, dengan kanopi dan akar yang kuat menjangkau jauh, MRANTI akan merangsang landskap teknologi dan pengkomersialan negara melalui rangkaian kukuhnya yang bercabang merentasi pelbagai industri, dan asas kukuh yang berakar pada teknologi dan inovasi untuk memartabatkan rakyat Malaysia ke peringkat global.

 

Institut ini dijangka beroperasi tahun hadapan selaras dengan agenda pemangkin pengkomersialan teknologi negara menerusi Pemecut Pengkomersialan Teknologi dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui sains, teknologi dan inovasi (STI-E). 

 

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Adham Baba berkata, misi utama MRANTI adalah untuk memudahcara proses pencetusan idea sehingga ke penghasilan impak melalui penciptaan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi.

 

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, MRANTI akan menyokong untuk mencapai beberapa sasaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) antaranya, 2.5% perbelanjaan kasar R&D (GERD) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 70% daripada perbelanjaan R&D oleh sektor swasta (BERD) kepada GERD, kedudukan 20 teraras dalam Indeks Inovasi Global dan 500 produk/penyelesaian dikomersialkan di bawah National Innovation and Technology Sandbox (NTIS) and Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY).

 

Dzuleira berkata, MRANTI bertujuan membolehkan penyelidikan Malaysia mempunyai misi yang lebih berfokus. 

 

"MRANTI sedang membangunkan pelan tindakan idea yang boleh memberi impak. Dalam erti kata lain, kami sedang mencari kaedah yang kreatif untuk memupuk pembangunan produk dan penyelesaian yang lebih berpatutan, tersedia dan boleh diakses ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia. 

 

"Oleh itu, kami mengalu-alukan pelabur dan syarikat yang ingin mengukuhkan ekosistem menerusi pembiayaan, akses pasaran, kepakaran teknikal dan banyak lagi," jelas beliau. - DagangNews.com