MSM dijangka berdaya tahan tahun ini - Firma | DagangNews Skip to main content

MSM dijangka berdaya tahan tahun ini - Firma

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Prestasi kewangan MSM Malaysia Holdings Berhad. dijangka bertambah baik tahun ini berdasarkan pencapaian suku pertama berakhir 31 Mac 2021 yang kukuh.

 

Pada suku berkenaan, untung bersih syarikat pengeluar gula itu melonjak 190% kepada RM31.19 juta berbanding kerugian bersih, RM34.7 juta bagi tempoh sama 2020.

 

MIDF Research berkata, peningkatan kos pengeluaran, jumlah dan premium yang lebih tinggi akan terus menyokong prestasi kewangan kumpulan sepanjang tahun ini. 

 

Pada masa sama, katanya, permintaan bagi segmen eksport juga akan terus meningkat. 

 

"Tetapi, perolehan kumpulan mungkin terjejas ekoran prestasi segmen borong yang kurang memberangsangkan. 

 

"Namun, kami tetap optimis dengan prospek kumpulan memandangkan MSM sedang menambah baik kadar penggunaan kapasiti di kilang penapisan di Johor kepada lebih 50% tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Ketika ini, kadar penggunaan kapasiti di kilang tersebut berada sekitar 27 hingga 30%.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' bagi saham MSM dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.96.

 

Bagi tempoh suku pertama itu, pendapatan bagi pengeksportan gula bertapis bertambah selaras dengan peningkatan dalam jumlah jualan hampir 5 kali ganda.

 

Bagaimanapun, jumlah jualan bagi segmen domestik menurun sebanyak 21% bagi suku ini berikutan permintaan yang berkurang khususnya daam segmen borong akibat daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) pada pertengahan Januari lalu.

 

Baca : MSM kembali untung selepas rugi 8 suku tahun berturut-turut

 

Sementara itu, CGS-CIMB berkata, penurunan mendadak bagi jumlah jualan gula di peringkat domestik masih membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan kadar penggunaan kapasiti dan kos penapisan gula.

 

"Ini akan diimbangi dengan pelan kumpulan untuk melupuskan MSM Perlis pada nilai RM175 juta yang akan membolehkan kumpulan merekodkan keuntungan RM91 juta," katanya.

 

Firma itu juga yakin peningkatan harga purata jualan (ASP) gula halus secara berperingkat oleh MSM kepada pemborong, sebanyak RM200 satu tan metrik pada suku kedua ini, susulan langkah sebelumnya untuk menaikkan premium harga kepada pelanggan segmen perindustrian sebanyak RM50 hingga RM150 satu tan metrik.

 

"Kenaikan ASP yang lebih tinggi akan membantu mengimbangi kos kenaikan gula mentah dan jumlah jualan yang rendah," tambahnya.

 

CGS-CIMB mengekalkan harga sasaran MSM pada RM1.41 dan menaikkan saranan kepada 'pegang' berbanding 'kurang' ke atas saham MSM sebelum ini. 

 

Pada 30 April lalu, MSM dan FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) memeterai lembaran terma pelupusan dan pemerolehan 100% kepentingan MSM Perlis Sdn Bhd (MSM Perlis), anak syarikat milik penuh MSM.

 

Dengan pertimbangan pelupusan awal sebanyak RM175 juta, perjanjian itu akan selesai pada suku ketiga tahun ini. 

 

MSM Perlis memegang 11 bidang tanah pertanian dan perindustrian yang diperuntukkan untuk pembangunan FGV Chuping Agro Valley (FCAV) di Perlis oleh FGVIF, sektor baharu di bawah kumpulan, yang terdiri daripada aktiviti perladangan tanaman tunai bersepadu bernilai tinggi dan perniagaan penternakan tenusu yang kian berkembang. - DagangNews.com