MSM kembali untung selepas rugi 8 suku tahun berturut-turut | DagangNews Skip to main content

MSM kembali untung selepas rugi 8 suku tahun berturut-turut

Gambar Bloomberg

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Syarikat pengeluar gula halus, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) kembali mencatatkan keuntungan bagi prestasi suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21) yang berakhir 31 Mac lalu. 

 

Suku semasa menyaksikan keuntungan bersih kumpulan mencanak 190% kepada RM31.19 juta berbanding kerugian bersih RM34.70 juta bagi tempoh sama tahun lalu, menurut MSM. 

 

Ujar MSM, kumpulan berjaya mengekalkan momentum pendapatan yang progresif sejak 4QFY20 setelah mencatatkan kerugian selama lapan suku tahun berturut-turut sebelum itu. 

 

“Pengukuhan margin, pertukaran mata wang asing serta kos kewangan yang lebih rendah telah menyumbang kepada jumlah keuntungan yang telah direkodkan tersebut. 

 

“Keseluruhannya, jumlah pendapatan bagi suku yang ditinjau telah meningkat 0.8% kepada RM514.93 juta berbanding RM510.84 juta pada 1QFY20 susulan peningkatan premium bagi segmen Industri dan Eksport. 

 

“Sementara itu, margin keuntungan kasar kumpulan turut melonjak kepada 13% bagi 1QFY21 berbanding 1QFY20 sejajar dengan penambahbaikan dalam hasil dan kadar penggunaan kapasiti (UF) di MSM Johor,” jelas MSM dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Dalam aspek operasi pula, MSM Johor berterusan merekodkan kemajuan yang progresif berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas, dengan hasil meningkat daripada 89% kepada 92%, serta UF bertambah baik daripada 16% kepada 22%. 

 

Selain itu, kata MSM, kos penapisan syarikat turut berkurang sebanyak 13% pada 1QFY21 berbanding suku yang sama tahun lepas berikutan penurunan dalam tarif gas. 

 

Sehubungan itu, kumpulan berhasrat untuk menggandakan fokus ke arah memperkukuhkan kecekapan dengan pengeluaran hasil yang lebih tinggi serta mencapai penggunaan kapasiti yang lebih baik dalam mengurangkan lagi kos pengeluaran.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, permulaan tahun ini sangat mencabar susulan gelombang ketiga wabak COVID-19 yang berterusan menjejaskan landskap pasaran dan perniagaan.

 

Syed Feizal Syed Mohammad
Syed Feizal Syed Mohammad

 

Walaubagaimanapun, ujar beliau, MSM kekal konsisten dalam memenuhi permintaan domestik di samping memberikan fokus dalam meluaskan kehadiran serantau sebagai pusat penapisan gula bersepadu melalui pengeksportan gula bertapis, kepelbagaian produk bernilai tambah dan hiliran. 

 

“Berasaskan kedudukan yang kompetitif, MSM menyasarkan untuk menceburi peluang perniagaan yang lebih dinamik dengan memanfaatkan kerjasama strategik bersama peneraju-peneraju industri yang bereputasi tinggi. 

 

“Kami menjangkakan segmen eksport untuk lebih berkembang pada tahun ini berdasarkan ramalan pasaran global yang semakin pulih di mana ia akan menggalakkan lagi pertumbuhan operasi dan perniagaan khususnya di MSM Johor,” katanya menerusi kenyataan sama. 

 

Baru-baru ini, MSM telah memeterai 'binding term sheet' bagi pelupusan dan pemilikan 100% pegangan anak syarikat milik penuhnya, MSM Perlis Sdn. Bhd. (MSM Perlis) sebagai sebahagian daripada strategi kumpulan dalam memperkasa keupayaan operasi dan melaraskan keuntungan melalui pelupusan aset-aset bukan teras. 

 

Bagi suku semasa, pendapatan sesaham (EPS) MSM mengukuh kepada 4.43 sen berbanding kerugian sesaham (LPS) sebanyak 4.94 sen pada suku sama yang ditinjau tahun lepas. 

 

Melangkah ke hadapan, MSM komited dalam memperkukuhkan usaha ke arah pemulihan untuk memberikan pulangan yang tinggi dan konsisten di samping menghasilkan nilai yang terbaik buat para pemegang saham serta memperkasa kedudukan pasaran domestik dan memanfaatkan peluang-peluang yang ada dalam segmen eksport. - DagangNews.com