MTM21 mulakan acara minggu pertama bertemakan Nadi Pelaburan Digital | DagangNews Skip to main content

MTM21 mulakan acara minggu pertama bertemakan Nadi Pelaburan Digital

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Malaysia Tech Month 2021 (MTM21) yang berlangsung selama sebulan memulakan minggu pertama dengan tema Nadi Pelaburan Digital.

 

Minggu pertama ini bermula 2 hingga 6 Ogos, akan menyoroti perkembangan Malaysia sebagai hab pelaburan digital serantau. 

 

Acara itu dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mulai 29 Julai hingga 30 Ogos 2021.

 

Dalam kenyataan hari ini, MDEC berkata, para peserta akan berinteraksi dengan pakar dan pelabur sedia ada dalam landskap Pelaburan Digital Malaysia.

 

"Ini termasuklah bagaimana mereka dapat memulakan pelaburan dan berkembang dalam negara dengan pandangan menyeluruh mengenai pelaburan serantau," katanya.

 

Setelah dilancarkan selama dua hari mulai semalam yang menyaksikan perbincangan bersama pakar dan perintis teknologi terkemuka dunia, MTM21 menampilkan kandungan digital dan teknologi berimpak tinggi demi mempromosikan pelaburan dalam ekonomi digital.

 

MTM21 menampilkan 40 acara dan lebih daripada 300 tetamu jemputan dan pelabur tempatan serta antarabangsa. 

 

Kandungan dan acara sampingan sepanjang bulan diadakan menerusi 4 tema mingguan berdasarkan teras NADI Digital MDEC iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments).

 

Menurut MDEC, pelancaran portal Malaysia Nadi Digital ASEAN (MHODA) bertindak sebagai acara pertama untuk minggu tersebut. 

 

Portal baharu yang dibangunkan sebagai Pejabat Pelaburan Digital (DIO), merupakan sebuah kerjasama di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan MDEC, yang berfungsi sebagai jendela utama dalam memperkemas usaha pelaburan digital luar negara dan tempatan yang menyatukan pelbagai Agensi Promosi Pelaburan (IPAs). 

 

Ini disusuli dengan sesi panel pada 2 Ogos yang akan membincangkan mengenai DIO tersebut dengan tajuk, Digital Investment Office – Your One Stop for All Digital Investment Needs.

 

Sesi tersebut akan menerokai bagaimana DIO tersebut mampu merungkai cadangan nilai unik pelaburan digital Malaysia pada masa hadapan. - DagangNews.com