MTMA 2023 rai karya kewartawanan pelancongan kesihatan terbaik | DagangNews Skip to main content

MTMA 2023 rai karya kewartawanan pelancongan kesihatan terbaik

Seramai lapan wartawan dan pempengaruh antarabangsa muncul sebagai pemenang pada majlis Anugerah Media Pelancongan Kesihatan (MTMA) 2023, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Dis - Anugerah Media Pelancongan Kesihatan (MTMA) 2023, anjuran Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), tiba di kemuncak dengan acara penyampaian anugerah bagi meraikan karya terbaik dalam bidang kewartawanan pelancongan kesihatan. 

 

Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, MTMA 2023 mengiktiraf laporan dan artikel oleh wartawan, pengarang, penerbit, organisasi media dan pempengaruh atas sumbangan mereka dalam mempromosikan industri pelancongan kesihatan di Malaysia.

 

Sejak diasaskan pada tahun 2019, MTMA telah berkembang menjadi sebuah pertandingan global. Kini dalam edisi keempat, ia terus meraikan naratif yang memaparkan pelbagai perspektif dalam landskap penjagaan kesihatan Malaysia.

 

Acara ini menyaksikan persaingan sengit antara lebih 400 penyertaan daripada lapan negara termasuk Malaysia. 

 

Lapan wartawan dan pempengaruh antarabangsa muncul sebagai pemenang pada majlis Anugerah Media Pelancongan Kesihatan (MTMA) 2023 bagi kategori yang dipertandingkan, dengan masing-masing memperoleh anugerah berprestij dan hadiah wang tunai lumayan berjumlah lebih daripada RM100,000 (AS$21,400).

 

Selain daripada anugerah-anugerah individu tersebut, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Malaysia dan Liputan6, Indonesia diiktiraf sebagai Anugerah Pasukan Editorial Pelancongan Kesihatan Terbaik yang berprestij, masing-masing untuk kategori tempatan dan antarabangsa. 

 

Ia merupakan satu penghargaan ke atas peranan penting mereka dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan penjagaan kesihatan terkemuka di peringkat antarabangsa.

 

 

mtma
Datuk Lukanisman Awang Sauni

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Dr Mohamed Ali Abu Bakar mengetengahkan impak acara berkenaan di peringkat global dan peranan kritikal bidang kewartawanan. 

 

Beliau berkata, MTMA bermatlamat untuk mengiktiraf peranan media dalam membangunkan industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia. 

 

Katanya, pelbagai penyertaan dari negara seperti Australia, Bangladesh, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Maldives, Singapura dan Amerika Syarikat tahun ini menunjukkan pencapaian kami dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam pelancongan penjagaan kesihatan. 

 

 

mtma
Dr Mohamed Ali Abu Bakar

 

 

"Menerusi lensa wartawan yang mahir dan komited, kami dapat mengetengahkan perkidhmatan dan tawaran yang boleh didapati di Malaysia, seterusnya menarik perhatian khalayak di seluruh dunia,” menurutnya.

 

"Sektor pelancongan kesihatan di Malaysia terserlah dengan fasiliti yang canggih, pakar perubatan profesional dan harga yang kompetitif. Hospital kami dilengkapi dengan teknologi terkini dan juga kepakaran doktor yang mempunyai pengiktirafan antarabangsa. 

 

"Di samping itu, kami memberi penekanan terhadap pengalaman pelancongan kesihatan yang lancar dan pendekatan yang mengutamakan pesakit. Kedua-dua ini merupakan asas kepada prinsip penjagaan kesihatan kami," katanya.

 

Beliau berkata, sehingga Oktober tahun ini, industri itu telah merekodkan pendapatan lebih daripada RM1.7 bilion, melepasi sasaran awal yang ditetapkan untuk tahun 2023. 

 

"Kami optimis bahawa industri ini dapat mencapai pendapatan sebanyak RM2 bilion menjelang akhir tahun ini, dua tahun lebih awal daripada sasaran asal kami, sekaligus mencipta rekod baharu untuk industri. 

 

"Pertumbuhan ini bukan sahaja mengukuhkan pemulihan industri, malah turut menjadi pemangkin kepada limpahan ekonomi yang ketara ke industri lain. Pencapaian ini tidak mungkin diperoleh tanpa komitmen media dan pempengaruh yang kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membina semula dan meningkatkan kesedaran mengenai jenama Malaysia Healthcare," katanya.

 

Panel hakim untuk Anugerah Media Pelancongan Kesihatan (MTMA) 2023 yang dipertanggungjawabkan untuk menilai penyertaan dalam semua kategori, dipengerusikan oleh Prof Dr Kiranjit Kaur, seorang pakar yang terkenal dalam media dan perhubungan awam. 

 

"Kualiti dan kepelbagaian penyertaan tahun ini ternyata luar biasa, masing-masing menyerlahkan penyelidikan yang mendalam, penceritaan menarik dan pandangan yang unik. 

 

"Laporan-laporan yang meraih kemenangan ini bukan sahaja mempamerkan bakat kewartawanan yang luar biasa tetapi juga mengetengahkan penyelesaian penjagaan kesihatan inovatif dan bertaraf dunia yang disediakan di Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara yang kian terkenal sebagai destinasi pelancongan kesihatan," katanya.

 

Barisan penilai lain termasuk, Presiden Ilan Geva & Friends Inc, Ilan Geva dan pakar dalam bidang penjenamaan dan tingkah laku pengguna dari Amerika Syarikat, Dr Ainal Rhyshikin Yusoff, pempengaruh perubatan terkenal dari Malaysia, Dr Izzal Asnira Zolkepli, Profesor Madya Universiti Sains Malaysia dan pakar dalam kajian media dari Malaysia, Hanizah Hamzah.

 

Selain itu, Ketua Televisyen di Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU), pengamal media berpengalaman dari Malaysia, Jegathesan Muniandy, Koresponden Kanan di Agency France-Presse (AFP) berpangkalan di Malaysia, Cristian Rahadiansyah, yang berpengalaman dalam bidang kewartawanan selama 19 tahun dari Indonesia dan Pengarah Urusan Dataxet, Chris Seto.

 

Untuk MTMA 2023, penyertaan anugerah ini dibuka mulai 14 Februari 2022 sehingga 1 November 2023. Dengan 12 kategori yang sangat kompetitif untuk peringkat tempatan dan antarabangsa, penyertaan dinilai menerusi proses penghakiman teliti yang memberi tumpuan kepada kriteria seperti kualiti penyelidikan, teknik dan penyampaian, kreativiti, isi kandungan, serta penampilan sosial dan kebolehkongsian bagi kategori digital.

 

Penyertaan wartawan dan pempengaruh daripada agensi berita dan penerbitan terkemuka di seluruh dunia ternyata membawa perspektif unik dan naratif yang bernas dalam pertandingan ini. 

 

Antara agensi berita terkenal yang mengambil bahagian termasuk Liputan6 (Indonesia), Kumparan (Indonesia), Channel News Asia (Singapura), Astro Awani (Malaysia), The Star (Malaysia), The Edge (Malaysia), ABC Radio (Australia) dan The Bruneian (Brunei).

 

Mohamed Ali berkata, menutup tirai MTMA 2023, pihaknya amat berterima kasih kepada para penaja dan rakan kerjasama seperti Damansara Specialist 2, Dataxet:Nama, Island Hospital, KPJ Johor dan Sunway Healthcare atas sokongan yang tidak ternilai dalam menjayakan majlis ini. 

 

"Untuk masa hadapan, kami teruja dengan potensi pertumbuhan dan inovasi dalam sektor pelancongan kesihatan di Malaysia. 

 

"Matlamat kami adalah untuk terus meningkatkan status negara sebagai destinasi penjagaan kesihatan global yang ternama, dan ini hanya dapat dicapai dengan usaha bersama rakan kerjasama dan perspektif berwawasan daripada komuniti media," katanya.

 

Tahun ini, MTMA2023 mengiktiraf lapan (8) pemenang daripada media antarabangsa dan tempatan menerusi enam kategori:

 

Laporan Pelancongan Kesihatan Media Cetak Terbaik (RM8,000 setiap satu dan trofi)
    a. Malaysia: Rosalinda Md. Said, Utusan Malaysia
    b. Antarabangsa: Tiada pemenang dalam kategori ini

 

2.  Laporan Pelancongan Kesihatan Atas Talian Terbaik (RM8,000 setiap satu dan trofi)
    a. Malaysia: Syahirah Mokhtazar, Sinar Daily 
    b. Antarabangsa: Amir bin Yusof, Channel News Asia, Singapura 

 

3. Rencana Pelancongan Kesihatan Penyiaran Terbaik (RM8,000 setiap satu dan trofi)
    a. Malaysia: Maiza Musa Albakri, Radio Televisyen Malaysia
    b. Antarabangsa: Md. Ashraful Alam, DBC News, Bangladesh

 

4. Pempengaruh Pelancongan Kesihatan Terbaik (RM8,000 setiap satu dan trofi)
    a. Malaysia: Peter Yong Sim Onn, Mr Money
    b. Antarabangsa: Gary Alexander Crestejo dan Hilda Sin Lok Man, Malaysia Jor, Hong Kong

 

Hadiah utama berserta wang tunai RM10,000 untuk setiap kategori yang berikut:

 

Wartawan Pelancongan Kesihatan Terbaik 

 

    a. Malaysia: Revathi Murugappan, The Star
    b. Antarabangsa: Deri Dahuri, Media Indonesia, Indonesia

 

Pasukan Editorial Pelancongan Kesihatan Terbaik 
    a. Malaysia: Radio Televisyen Malaysia (RTM)
    b. Antarabangsa: Liputan6, Indonesia 

 

Untuk maklumat lanjut mengenai MTMA, layari https://www.mhtc.org.my/mtma/  atau kunjungi Facebook https://www.facebook.com/MyMTMA/. 

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Penjagaan Kesihatan Malaysia dan perkhidmatannya termasuk pelancongan kesihatan, layari https://malaysiahealthcare.org.my. 

 

Dapatkan maklumat terkini bersama Malaysia Healthcare dengan mengikuti akaun media sosial di Facebook http://www.facebook.com/malaysiahealthcare.org dan di LinkedIn melalui Majlis Pelancongan  Kesihatan Malaysia. - DagangNews.com