Muhyiddin nyatakan sokongan penuh kepada Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin nyatakan sokongan penuh kepada Ismail Sabri

ISMAIL Sabri Yaakob bersama Muhyiddin Yassin ketika mengunjungi bekas Perdana Menteri itu di kediaman beliau pada 21 Ogos 2021.
 

 

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sokongan penuh beliau kepada Perdana Menteri ke-sembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Komitmen tersebut dinyatakan oleh Muhyiddin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu dalam laman Facebook rasmi beliau, bersama gambar ketika menerima kunjungan Perdana Menteri ke kediamannya petang semalam.

 

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri.

 

“Saya memberi sokongan penuh kepada beliau dan Insya-Allah akan terus membantu Kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara,” katanya.

 

Muhyiddin turut mendoakan semoga Ismail Sabri akan dapat menggalas amanah kepimpinan dengan sebaik mungkin dan mengemudi negara ke mercu kejayaan.

 

Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada petang semalam.

 

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang.

 

 

PM
ISMAIL Sabri Yaakob bersama Muhyiddin Yassin ketika mengunjungi bekas Perdana Menteri itu di kediaman beliau pada 21 Ogos 2021.

 

 

Ismail Sabri, 61, diperkenan oleh KDYM Agong untuk mengisi kekosongan setelah membuktikan beliau mendapat undi majoriti Ahli Parlimen berikutan perletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lepas. - DagangNews.com