MUHYIDDIN YASSIN bertanya khabar dengan seorang wanita yang menjual pakaian di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, Isnin.
KUALA LUMPUR 13 Sept – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu menyokong dan membeli dari peniaga-peniaga kecil supaya mereka dapat bangkit kembali membina perniagaan dan menjana pendapatan.
‘’Insya-Allah, dengan kerjasama orang ramai, kita dapat menangani pandemik COVID-19 ini sebagai satu Keluarga Malaysia,’’ katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya.
Menurut Muhyiddin, hari ini beliau berkunjung ke Aeon AU2 Setiawangsa di Taman Keramat bagi melihat sendiri pembukaan sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara.
Sejak Jumaat lalu kata beliau, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara dan rakyat di negeri tersebut kini dapat menikmati lebih banyak kelonggaran terutamanya bagi aktiviti ekonomi dan sosial.
‘’Dalam kunjungan saya ke kompleks beli-belah ini, para peniaga berkongsi situasi "on the ground" setelah mula beroperasi semula.
‘’Seperti kunjungan-kunjungan saya sebelum ini, saya ingin mendengar sendiri daripada mulut peniaga tentang pengalaman dan rintihan mereka dalam berhadapan cabaran mencari rezeki ketika musim pandemik,’’ kata beliau.
Bekas perdana menteri itu berkata, sememangnya, angka dan data yang dikumpul tidak akan lengkap jika tidak mendengar sendiri suara rakyat.
‘’Ada yang mengadu kepada saya tentang cabaran perniagaan yang dihadapi sepanjang tempoh "lockdown" termasuk kerugian yang ditanggung, namun Alhamdulillah, rata-rata peniaga menghargai bantuan-bantuan tunai yang telah disalurkan Kerajaan sejak Mac 2020 seperti Bantuan Prihatin Nasional dan Bantuan Khas COVID baru-baru ini,’’ ujar beliau.
Muhyiddin berkata, seperti mana yang semua sedia maklum, Kerajaan telah membelanjakan lebih RM25 bilion untuk bantuan tunai kepada rakyat yang telah memanfaatkan lebih 10.6 juta orang rakyat Malaysia.
Pada separuh kedua 2021, sebanyak RM10 bilion bantuan tunai telah diperuntukkan melalui PEMULIH.
Beliau berkata, sememangnya sebagai sebuah #KerajaanPrihatin, kita tidak pernah putus- putus cuba membantu rakyat meringankan beban yang ditanggung ketika pandemik ini.
‘’Jujur saya kongsikan, saya amat kagum melihat kecekalan para peniaga yang tabah meneruskan usaha mereka mencari rezeki yang halal. Rata-rata peniaga menzahirkan rasa optimistik bahawa perniagaan mereka akan beransur pulih dan memastikan peniaga serta pelanggan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
‘’Saya juga berkesempatan beramah mesra dengan para pengunjung termasuk anak-anak kecil yang sudah mula menikmati cuti sekolah mereka,’’ ujarnya.
Muhyiddin berkata, sememangnya pengurusan wabak COVID-19 ini memerlukan bukan sahaja penglibatan secara menyeluruh oleh Kerajaan (Whole of Government) malah masyarakat (Whole of Society) juga amat penting.
Katanya, tindakan Kerajaan untuk menubuhkan Pasukan Bertindak Khas ataupun Greater Klang Valley Special Taskforce telah berjaya mengawal penularan COVID-19 dan memperkukuhkan kesiapsiagaan sistem kesihatan.
Katanya, operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang bagi mempercepatkan proses vaksinasi juga telah membuahkan hasil sehingga nilai-nilai ambang bagi peralihan ke Fasa Dua dapat dicapai.
‘’Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), saya akan memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dipergiatkan lagi bagi memastikan semua yang layak akan menerima suntikan vaksin.
‘’Saya akan mempengerusikan mesyuarat MPN pada Isnin depan bagi membincangkan kepada pembukaan sekolah dan institusi pengajian tinggi secara teratur dan selamat,’’ kata Muhyiddin. – DagangNews.com