Multicare salur bantuan kepada mangsa kebakaran di Karak | DagangNews Skip to main content

Multicare salur bantuan kepada mangsa kebakaran di Karak

Barang makanan diedarkan kepada mangsa kebakaran di Dewan JKKK Kampung Baru Cina Karak oleh sukarelawan Multicare, baru-baru ini.

 

KUALA LUMPUR 22 Okt – Multicare Pharmacy, satu daripada anak syarikat Sunway Group, menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Karak yang kehilangan rumah dan perniagaan mereka. Bantuan yang dihulurkan kepada mangsa dan pasukan penyelamat berjumlah lebih RM20,000.

 

Ahli farmasi dan pembantu farmasi Multicare meluangkan masa selama tiga hari untuk mengagihkan sumbangan kepada mangsa kawasan yang terjejas itu sambil menghulurkan bantuan kepada mangsa serta pasukan penyelamat melalui program Bantuan Bencana mereka.

 

Kebakaran yang berlaku di Kampung Baru Cina di Karak, Pahang, pada 1 Oktober, memusnahkan lebih daripada 50 rumah dan lapan lot kedai yang menyebabkan lebih dari 150 orang kehilangan tempat tinggal. Walaupun tiada kematian dan kecederaan, keluarga-keluarga yang terlibat terpaksa dipindahkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Karak yang berdekatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Kumpulan Multicare, Lang Leong Cheng berkata, keluarga-keluarga tersebut telah kehilangan segalanya dalam kebakaran tersebut.

 

‘’Walaupun kami berasa lega kerana tiada nyawa yang terkorban, kami berasa amat bersimpati dengan trauma yang mereka hadapi bukan setakat kehilangan rumah dan harta-benda, malah kenangan yang tidak boleh dibeli dengan wang," kata beliau.

 

Selain menyediakan bahan makanan ruji yang akan bertahan lebih dari seminggu dan pakej penjagaan diri dan rumah serta produk kebersihan diri yang penting seperti bahan pencuci, sabun, syampu dan juga perubatan, sumbangan pasukan Multicare turut memuatkan 70 barangan daripada 35 penaja.

 

Para sukarelawan tersebut turut mengedarkan alat ujian antigen COVID-19, oksimeter, topeng muka, pembersih muka dan sarung tangan kepada anggota bomba, polis dan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) sebagai sebahagian daripada bantuan. – DagangNews.com