Musang Valley Plantation guna data pemerhatian bumi termaju, rumusan analitik SC Solutions bagi laksana inisiatif ESG | DagangNews Skip to main content

Musang Valley Plantation guna data pemerhatian bumi termaju, rumusan analitik SC Solutions bagi laksana inisiatif ESG

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Jan - Musang Valley Plantation (MVP) yang merupakan syarikat perladangan bersepadu Malaysia akan menggunakan data pemerhatian bumi (EO) termaju dan rumusan analitik disediakan SC Solutions Inc. (SC Solutions) bagi melaksanakan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

SC Solutions akan bertindak sebagai rakan kongsi jangka panjang bagi pengesahan gas rumah hijau dalam usaha meningkatkan dan menyokong program ESG MVP.

 

Di bawah perjanjian itu, SC Solutions akan bekerjasama dengan MVP bagi memahami operasinya dan menilai penyerapan gas rumah hijau ladang pada tahun sebelumnya menggunakan platform I-Sat, selain menyediakan laporan tahunan kepada MVP yang memperincikan keputusan usaha penyimpanan gas rumah hijau.

 

Pengasas bersama MVP, Nelson Neo berkata, pihaknya komited untuk memberi nafas baharu kepada industri pertanian.

 

"SC Solutions berada di barisan hadapan dalam aplikasi ruang angkasa ke bumi dan penyelesaian EO. Kami yakin dapat memenuhi objektif ESG dengan memanfaatkan data analitik terkini yang disediakan oleh SC Solutions,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Rumusan teknologi ruang angkasa komprehensif SC Solutions menggabungkan imej cerapan bumi daripada satelit, algoritma pemprosesan data lanjutan dan teknik pembelajaran mesin bagi penganggaran dan pengesahan biojisim yang tepat. 

 

Dengan memanfaatkan kepakarannya dalam membuat tafsiran data EO dan pembangunan perisian, SC Solutions komited menyampaikan alat yang menyokong MVP dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SC Solutions, Cliff Beek berkata, pihaknya sangat teruja untuk bekerjasama dengan MVP bagi memacu amalan perladangan mampan di Asia Tenggara dan menangani cabaran alam sekitar yang dihadapi di rantau ini.

 

"Kami berharap dapat membantu MVP untuk mencipta semula dan memodenkan industri perladangan jangka panjang melalui kuasa transformatif sistem dan infrastruktur berasaskan angkasa kami," katanya. - DagangNews.com