KUALA LUMPUR 8 Okt. - Musim perayaan Hindu yang disambut bulan ini dijangka melonjakkan pembelian minyak sawit dari India, meningkat kepada 725,000 tan metrik berbanding 638,000 pada September.
Menurut laporan Bloomberg, Pengarah Urusan GGN Research, G.G. Patel berkata, peningkatan itu disebabkan peniaga dan pengilang mahu menambah stok bagi memenuhi permintaan dalam pasaran yang mana India merupakan pengimport terbesar.
"Ini menjadikan permintaan Oktober meningkat, setelah ia mencatatkan rekod terendah pada September sejak Jun. Pada Oktober 2019, sebanyak 778,568 tan metrik minyak sawit diimport," katanya.
Kebiasaannya, penggunaan minyak sayur-sayuran akan meningkat pada September hingga November di Asia Selatan memandangkan masyarakat India menyambut perayaan seperti Dussehra dan Diwali.
Bagaimanapun, jelas Patel, penggunaan minyak sawit di India bagi industri perkhidmatan makanan terjejas selepas kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan pada Mac lalu.
Apabila kelonggaran mula diberi secara berperingkat, Patel melihat import minyak masak meningkat kira-kira 1.2 juta tan metrik pada Oktober berbanding 1.04 juta bulan sebelumnya.
"Namun, pembelian mungkin rendah pada November dan Disember memandangkan ia adalah musim pengeluaran monsun minyak bijian yang akan mengekang aktiviti import dan penggunaan minyak sawit pula di hotel dan restoran pula
kurang memberangsangkan," katanya.
Menurut Patel, India mengimport 317,000 tan metrik minyak soya pada September berbanding 394,735 pada Ogos manakala import minyak bunga matahari pula lebih daripada separuh kepada 66,000 tan metrik berbanding 158,518 tan metrik.
Permintaan minyak sawit dari India ini secara tidak langsung membantu memulihkan kembali pasaran minyak sawit di Malaysia dari segi harga dan stok yang turut berdepan dengan masalah kekurangan tenaga buruh.
Niaga hadapan penanda aras di Kuala Lumpur meningkat kira-kira 47% sejak Mei.
Pakar ekonomi OCBC Bank di Singapura, Howie Lee berkata, permintaan dari India dan China semakin pulih dan kekurangan tenaga buruh ini boleh mendorong peningkatan harga sawit lebih tinggi.
"Penggunaan dari kedua-dua negara ini mungkin kekal dalam keadaan baik memandangkan simpanan stok mereka adalah rendah," katanya.
Di luar China, permintaan minyak sawit bagi industri perkhidmatan makanan masih kekal lemah memandangkan negara-negara berkenaan masih berdepan dengan pandemik COVID-19.
Penganalisis Kanan Rabobank di Singapura, Oscar Tjakra berkata, penggunaan minyak sawit daripada isi rumah berpendapatan rendah dijangka semakin menurun disebabkan peningkatan jumlah pengangguran. - Dagangnews.com