MVA gesa kerajaan gugur GEG daripada RUU agar peraturan vape dipercepatkan | DagangNews Skip to main content

MVA gesa kerajaan gugur GEG daripada RUU agar peraturan vape dipercepatkan

Gambar ihsan FB Parlimen Malaysia
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Malaysian Vapers Alliance (MVA) menggesa kerajaan untuk menggugurkan Dasar Generasi Penamat (GEG) daripada Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok bagi mempercepatkan peraturan untuk industri vape.

 

Presiden MVA, Khairil Azizi Khairuddin berkata layanan berbeza kepada dua kumpulan rakyat Malaysia berdasarkan tahun kelahiran mereka adalah tindakan diskriminasi yang jelas bertentangan dengan prinsip kesaksamaan dan keadilan.

 

Khairil berkata ini hanyalah satu contoh bagaimana GEG adalah isu yang berbangkit, malahan tidak lupa juga stigma terhadap pengguna dan kesannya terhadap perniagaan, peruncit dan pekerja.

 

”Pada masa yang sama, kami amat percaya bahawa peraturan untuk industri vape amat diperlukan dan mesti diteruskan.

 

”Oleh itu, kami mencadangkan agar RUU harus menggugurkan klausa GEG supaya ia boleh diteruskan untuk membolehkan pengenalan peraturan yang sangat diperlukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

 

Khairil Azizi Khairuddin
Khairil Azizi Khairuddin

 

 

Dengan cara ini, katanya, peraturan boleh diperkenalkan untuk menghalang sebarang penjualan kepada individu di bawah umur 18 tahun dan juga memperkenalkan keperluan keselamatan untuk melindungi pengguna.

 

Khairil berkata pengangguhan pelaksanaan GEG menunjukkan bahawa dasar terbabit perlu dinilai semula dengan teliti sebelum ia boleh diluluskan sebagai undang-undang.

 

“Tidak masuk akal untuk menjadikannya undang-undang sekarang sedangkan penilaian terhadap pelaksanaan dan kesannya tidak tersedia,” tambahnya.

 

 

BACA JUGA: Perbahasan RUU Kawalan Produk Merokok GEG di Parlimen pada 10 Oktober ditangguhkan

 

 

Sehubungan itu, MVA berkata ia komited untuk bekerjasama dengan kerajaan, penggubal undang-undang dan semua pihak berkepentingan untuk memastikan peraturan vape mencapai keseimbangan antara keselamatan pengguna dan hak individu.

 

Tambahnya, mengasingkan klausa GEG daripada RUU akan memberi peluang untuk berdialog lebih lanjut dan melakukan pemeriksaan menyeluruh, sambil meletakkan peraturan yang wajar untuk industri vape dengan segera.

 

“Ini juga akan membolehkan kita secara kolektif mencari penyelesaian lebih saksama dan berkesan.

 

”Kami berharap dapat melibatkan diri dalam perbincangan produktif dengan pihak berkuasa berkaitan langkah menangani kebimbangan ini dan mewujudkan rangka kerja kawal selia yang menghormati hak dan pilihan semua rakyat Malaysia,” kata Khairil.  - DagangNews.com