MYAirline setuju bayar RM4.3 juta gaji, elaun kepada 158 pekerja - MTUC | DagangNews Skip to main content

MYAirline setuju bayar RM4.3 juta gaji, elaun kepada 158 pekerja - MTUC

KUALA LUMPUR 24 Nov - Syarikat penerbangan MYAirline bersetuju membayar tuntutan gaji dan elaun 158 pekerja berjumlah RM4.3 juta selepas mesyuarat diadakan bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) hari ini.

 

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, tindakan itu dicapai selepas JTK mengeluarkan perintah mahkamah buruh berhubung perkara berkenaan.

 

"Saya juga dimaklumkan pihak pengurusan MYAirline yang gaji berkenaan akan dibayar pada Januari depan selepas ketibaan pelabur baharu.

 

"Kerisauan kami adalah jika pelaburan dikatakan itu tidak berlaku, apakah yang akan terjadi kepada pekerja. Kita tidak mahu syarikat cuba menangguhkan pembayaran gaji untuk memindahkan aset ke tempat lain dan kemudian mengisytiharkan diri muflis," katanya kepada media di JTK Subang, di sini, hari ini.

 

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan pekerja MYAirline yang menghadapi penggantungan operasi sejak 12 Oktober lalu membuat laporan polis berhubung tunggakan gaji mereka.

 

Penggantungan operasi MYAirline pada 12 Oktober lalu dikatakan ekoran tekanan kewangan turut menimbulkan persoalan dalam kalangan lebih 500 kakitangan syarikat penerbangan itu berhubung status perkhidmatan mereka dalam syarikat yang memulakan penerbangan sulungnya pada 1 Disember tahun lalu.

 

Kamarul Baharin berkata, tanggungjawab majikan adalah untuk membayar gaji pekerja yang menjadi keutamaan sekarang sama ada pelabur baharu ada atau sebaliknya.

 

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu juga memotong gaji pekerja bagi dicarumkan ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tetapi tidak disalurkan ke organisasi terbabit.

 

"Kita sangsi dengan kejujuran syarikat ini. Saya harap badan berkaitan dapat mengambil inisiatif untuk memanggil MYAirline dan mengambil tindakan sewajarnya.

 

"Kesan dialami pekerja bukan hari ini saja, tetapi dalam tempoh beberapa tahun. Mereka mungkin dikenakan tindakan daripada LHDN, sudahlah gaji tidak dibayar, malah dikenakan hukuman pula," katanya.

 

Susulan itu, Kamarul Baharin menggesa kerajaan campur tangan dalam memudahkan urusan pekerja MYAirline berhubung tuntutan berkenaan, lapor Berita Harian.

 

"Kita memohon kerajaan memantau isu ini dan mengambil inisiatif untuk membantu pekerja terbabit sama ada menawarkan temu duga di tempat baharu atau memberi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

 

"Saya difahamkan SIP hanya menampung pekerja selama tiga bulan, jadi bagaimana mereka mahu meneruskan hidup dengan gaji tidak dibayar dan terpaksa menunggu.

 

"Status mereka bersama syarikat masih sebagai pekerja dan MyAirline perlu bertanggungjawab. Syarikat itu perlu membuat keputusan sama ada meneruskan mereka sebagai pekerja atau menamatkan perkhidmatan," katanya.

 

Sementara itu, Kamarul Baharin berkata, MTUC menggesa baki pekerja MYAirline untuk membuat tuntutan sama kepada JTK berhampiran supaya isu ini dapat diselesaikan dengan cepat. - DagangNews.com