MyCIF labur bersama sebanyak RM638 juta ke dalam PMKS menerusi ECF dan P2P | DagangNews Skip to main content

MyCIF labur bersama sebanyak RM638 juta ke dalam PMKS menerusi ECF dan P2P

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jun - Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan pelaburan bersama (co-investment) telah melabur sejumlah RM638 juta dalam hampir 35,000 kempen pembiayaan pendanaan ekuiti awam (ECF) dan rakan setara (P2P) yang memanfaatkan 3,635 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia pada 2022. 

 

Sejak penubuhannya, MyCIF telah menjana pulangan bersih positif ke atas modal sebanyak RM16.5 juta. 

 

Sehingga akhir 2022, ia telah menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM230 juta, dengan tambahan RM40 juta diperuntukkan dalam Bajet 2023.

 

Memasuki tahun 2023, MyCIF akan menggalakkan lebih banyak inovasi dalam bidang  yang telah dikenal pasti sebagai bidang strategik kepada ekonomi Malaysia.

 

Ini akan dilakukan dengan meneruskan inisiatif sedia ada untuk perniagaan pertanian, serta memperluaskan nisbah pelaburan bersama khas 1:2 yang serupa kepada sektor  alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, MyCIF juga berjaya mencapai lebih banyak perusahaan dalam segmen yang kurang mendapat perkhidmatan (underserved) pada 2022. 

 

Pada tahun lalu, MyCIF telah melancarkan initiatif khas untuk melabur dalam perusahaan yang berteraskan pertanian pada nisbah 1:2.

 

Hasilnya, perusahaan pertanian yang meraih dana dalam platform ECF dan P2P melonjak hampir empat kali ganda dan tambahan, 28% daripada dana MyCIF telah disalurkan ke kawasan luar Lembah Klang, peningkatan daripada hanya 21% pada 2021.

 

“MyCIF telah terbukti memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan pendanaan ECF dan pembiayaan P2P.

 

“Kira-kira 10 kali lebih banyak firma telah mengumpul dana melalui platform ECF dan P2P sejak penubuhan MyCIF," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini, MyCIF menyatakan bahawa jumlah dana yang diperoleh daripada ECF dan pembiayaan P2P meningkat sebanyak RM300 juta kepada RM1.7 bilion daripada 2021.

 

Pertumbuhan 26% tahun ke tahun ini menunjukkan bahawa minat pelabur dan perniagaan yang semakin meningkat terhadap pasaran pembiayaan alternatif.

 

Daripada jumlah itu, MyCIF melabur bersama sebanyak RM282 juta berbanding RM193 juta pada 2021. Ini mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam pasaran ECF dan pembiayaan P2P. - DagangNews.com