MyFintech anjuran BNM diadakan secara maya 24-28 Januari 2022 | DagangNews Skip to main content

MyFintech anjuran BNM diadakan secara maya 24-28 Januari 2022

KUALA LUMPUR 2 Nov – Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan acara utama teknologi kewangan (finteh) – MyFintech Week 2022 (MyFW 2022) dari 24 Januari hingga 28 Januari 2022.

 

Edisi kedua acara ini akan diadakan secara maya dan bakal menyaksikan penyertaan lebih ramai peserta antarabangsa.

 

Bertemakan ‘Memajukan Pendigitalan untuk Pemulihan, Kemampanan dan Keterangkuman’, acara itu akan membawa fokus unik mengenai kepentingan kemampanan dan teknologi digital di dalam meorientasi semula peranan kewangan bagi membantu ekonomi-ekonomi membina semula ke arah masa hadapan yang lebih terangkum, berdaya tahan dan mampan.

 

Ia juga diadakan bersempena pelancaran Blueprint Sektor Kewangan 2022-2026, yang akan menetapkan keutamaan sektor kewangan Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.

 

Bercakap mewakili jawatankuasa penganjuran MyFW 2022, Pengarah Pembangunan Kewangan dan Inovasi Bank Negara Malaysia, Suhaimi Ali berkata, inovasi dan pendigitalan akan terus membentu landskap sektor kewangan dan menyumbang ke arah ekonomi yang lebih cergas dan mampan bagi Malaysia.

 

‘’Industri fintech di Malaysia telah tumbuh dengan pesat dalam tahun-tahun kebelakangan ini, buktinya peningkatan 164% dari segi bilangan syarikat fintech pada 2020 iaitu 20,171 buah, selain perluasan rumusan-rumusan yang diperkenalkan di pasaran daripada e-KYC, e-remittance sehingga insurans digital,’’ kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Suhaimi berkata, pada masa yang sama, transaksi pembayaran digital tumbuh 44% kepada 4.5 bilion bagi tempoh Januari-Ogos 2021 berbanding tempoh sama pada 2019 sebelum pandemik.

 

Malah ujar beliau, pendaftaran QR oleh perniagaan telah meningkat dari 333,952 sebelum pandemik kepada lebih 1 juta setakat separuh pertama 2021, dipacu oleh permintaan teguh pembayaran dalam talian dan tanpa sentuh semasa pandemik.

 

‘’Memandangkan kemajuan tersebut, ini adalah tepat pada masanya untuk membincangkan trend yang berkembang ini dan menyusun strategi bagi tahap seterusnya pertumbuhan dan pembangunan,’’ kata beliau.

 

MyFW 2022 akan membawa lebih 80 pakar dan peneraju di dalam fintech dan pendigitalan, serta pakar kelestarian dan menyasarkan untuk menghasilkan perbincangan yang membawa kepada pendekatan yang boleh dilaksanakan.

 

 

Pengarah Pembangunan Kewangan dan Inovasi Bank Negara Malaysia, Suhaimi Ali
Pengarah Pembangunan Kewangan dan Inovasi Bank Negara Malaysia, Suhaimi Ali

 


Pendekatan ini akan diterajui tujuh keutamaan bagi sektor kewangan iaitu Kemampanan, Realiti Baharu bagi Kewangan, Ekonomi, Keterangkuman dan Kesihatan Kewangan, Daya Tahan, Syarikat Baharu Bermula dan Perundangan.

 

Sama seperti acara pertamanya dahulu, MyFW 2022 akan memaparkan dua landasan cabaran inovasi fintech.  

 

Dianjurkan dengan kolaborasi KPMG dan 1337 Ventures, cabaran inovasi tahun ini akan menumpukan kepada inovasi yang dikaitkan dengan Matlamat Pembangunan Lestasi (SDG) bagi membantu memajukan agenda kemampanan Malaysia di dalam sektor kewangan.

 

Pendaftaran bagi MyFW2022 kini dibuka bagi penyertaan awal dengan caj bermula daripada RM80 satu untuk Pas Berkumpulan (3 hingga 10 delegasi) hingga RM100 bagi Pas Tunggal untuk individu.

 

Caj penyertaan awal dibuka sehingga 30 November 2021. Daftar sekarang di www.myfintechweek.my. Permohonan bagi Program Pemacu Matlamat Pembangunan Mampan di http://www.kpmg.com.my/MFW2022sustainabilitychallenge dan https://1337.ventures/alpha-startups-myfintechweek/. – DagangNews.com