myIOU, Payhalal tawar perkhidmatan beli sekarang, bayar kemudian patuh syariah | DagangNews Skip to main content

myIOU, Payhalal tawar perkhidmatan beli sekarang, bayar kemudian patuh syariah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - myIOU telah mengembangkan penawaran produknya berikutan dengan pensijilan pematuhan syariah baru-baru ini yang dianugerahkan Tawafuq Consultancy Sdn Bhd, sebuah firma penasihat syariah global bebas, dilesenkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

Untuk menawarkan perkhidmatan beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) patuh syariah, myIOU bekerjasama dengan Souqa Fintech Sdn Bhd milik PayHalal, yang merupakan gerbang pembayaran patuh syariah. 

 

myIOU kini bersedia untuk mendaftar pelbagai perniagaan, terutamanya yang beroperasi dalam industri halal atau kemudahan kewangan yang dibenarkan Islam. 

 

Kerjasama ini akan membuka portfolio baharu yang dipanggil myIOU Islamic untuk syarikat.

 

Ketua Pemasaran IOUpay, Gwen Khor berkata, dengan syarikat itu diperakui sebagai syarikat patuh syariah, ia serta-merta membuka akses kepada komuniti baharu atau pengguna dan peniaga yang ingin menambah baik dan meningkatkan pengalaman pengguna e-dagang mereka.

 

"Kerjasama ini dipercayai dapat mengukuhkan peluang IOUpay untuk berkembang ke negara-negara tenggara lain yang mempunyai populasi Islam yang besar.

 

"Tambahan pula, PayHalal juga telah menandatangani perjanjian rujukan pedagang, yang mana syarikat itu menyokong peniaga mereka dengan mempromosikan myIOU Islamic sebagai salah satu pembayaran digital pilihan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Katanya, tawaran baharu ini membolehkan pengguna mereka membahagikan pembelian kepada setiap bulan pembayaran pada kadar faedah sifar dan bebas riba serta meningkatkan pengalaman pengguna mengetahui bahawa pembelian mereka adalah patuh syariah. - DagangNews.com