KUALA LUMPUR 14 Mac - Platform dagangan kenderaan terpakai di Malaysia, myTukar Sdn. Bhd. (myTukar) menyerahkan hadiah berupa Proton X70 bernilai RM100,000 kepada pemenang bertuah, Mohamad Ariff Mohamad Borhanud bersempena dengan sambutan ulang tahun keempat syarikat itu.
Lebih 300 peserta terlibat dengan program yang dianjurkan bermula 1 Disember 2021 hingga 9 Januari 2022 dan pemenang diumumkan menerusi majlis cabutan bertuah yang diadakan secara dalam talian menerusi Facebook.
Mohamad Ariff yang berusia 27 tahun nyata gembira amat gembira selepas diumumkan sebagai pemenang kerana dia sama sekali tidak menjangka bakal menjadi pemilik Proton X70.
"Selepas dimumkan sebagai pemenang saya sangat terkejut. Kalau diikutkan, saya merancang untuk dapatkan kereta seperti Proton Satria Neo tetapi sama sekali tidak jangka bakal menjadi pemilik Proton X70," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kereta yang dimenangi Ariff bersama kenderaan lain di bawah kendalian myTukar sudah menjalani penyelenggaraan penuh bagi memastikan ia berada dalam keadaan terbaik selain telah menjalani pemeriksaan komprehensif bagi memastikan tidak sebarang kerosakan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Derrick Eng berkata, program yang diadakan itu adalah sebahagian daripada usaha menggalakkan orang ramai untuk mempertimbangkan pembelian kenderaan terpakai.
"Pembelian kereta yang dilakukan Mohamad Ariff menerusi myTukar adalah sangat telus dan sangat mudah.
"Proses pembelian kenderaan di myTukar sangat mudah bermula daripada kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), proses mendapatkan insurans, pilihan pinjaman dan pertukaran hak milik semuanya berjalan dengan mudah.
"Kami juga merancang untuk mengadakan lebih banyak pertandingan seumpama ini pada 2022 menerusi pelbagai kempen baharu dan kami mungkin akan memberikan kenderaan premium kepada pelanggan," katanya.
myTukar akan membuka pusat pameran keenam mereka pada pertengahan 2022 dan pada masa sama bakal melancarkan aplikasi di telefon bimbit untuk pelanggan. - DagangNews.com