NanoMalaysia tandatangani MOU dengan MyIPO  | DagangNews Skip to main content

NanoMalaysia tandatangani MOU dengan MyIPO 

Dari kiri; Dr Rezal Khairi Ahmad; Prof. Emeritus Dato' Ir. Dr Mohamad Zawawi Ismail, dan Abdul Haris Lakar.

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Nov - NanoMalaysia Berhad (NMB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk program Technology and Innovation Support Center (TISC) sebagai satu langkah yang diambil oleh NMB untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Harta Intelek (HI) bagi pengurusan strategik menerusi penyertaan dalam pelbagai program latihan berkaitan harta intelek (HI).

 

Pengerusi NMB, Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Mohamad Zawawi Ismail berkata, kerjasama ini memberi peluang untuk menjalin hubungan kerjasama strategik yang lebih kukuh dalam bidang Inovasi Teknologi dan Perlindungan Harta Intelek. 

 

"Langkah ini bukan sahaja membolehkan penggunaan sumber yang ada dengan lebih baik lagi malah membantu mewujudkan pengurusan yang kukuh dan berkesan dalam bidang ini di peringkat nasional," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, menerusi MOU ini, NMB akan dapat mengakses maklumat teknikal yang menjadi faktor penting dalam mencapai objektif dan matlamat NMB secara jangka pendek dan jangka panjang untuk memperoleh pulangan daripada HI yang dibangunkan bersama dengan syarikat baharu, perusahaan kecil dan sederhana serta universiti.

 

Program itu termasuklah pencarian paten, penderafan paten, pengkomersialan dan pemasaran HI yang dijalankan dan diselaraskan oleh MyIPO dengan kerjasama World Intellectual Property Organization (WIPO).

 

Ujarnya, sesi latihan akan dikendalikan oleh pakar dalam bidang HI dari Amerika Syarikat dan Eropah yang dilantik oleh WIPO menggunakan modul yang telah ditetapkan oleh WIPO serta berkongsi "amalan terbaik” yang digunakan di luar negara.

 

Sementara itu Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Lakar berkata MyIPO berbesar hati dengan jalinan kerjasama ini dan berharap kerjasama yang lebih erat di antara MyIPO dan NMB dapat dilakukan pada masa akan datang. 

 

"Melalui program TISC ini dapat berkongsi amalan terbaik yang digunakan di luar negara dan kami percaya program ini akan menjadi aset yang berguna untuk NMB," katanya.

 

Sehingga bulan November 2021, NanoMalaysia telah berjaya membangunkan 72 harta intelek yang terdiri daripada 31 paten, 27 hakcipta, 8 cap dagangan dan 6 pembaharuan utiliti yang telah pun difailkan dengan MyIPO. -DagangNews.Com