Nazrul Hisham Abd Hamid dilantik CEO Zurich Takaful Malaysia | DagangNews Skip to main content

Nazrul Hisham Abd Hamid dilantik CEO Zurich Takaful Malaysia

KUALA LUMPUR 1 Nov – Zurich Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan Nazrul Hisham Abd Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zurich Takaful Malaysia Berhad, berkuatkuasa serta-merta.

 

Nazrul merupakan CEO bagi Zurich General Takaful Malaysia Berhad sebelum bertukar ke peranan baharu di Zurich Takaful. Beliau menggantikan Mukesh Dhawan yang telah meletak jawatan; pengganti beliau bagi perniagaan takaful am akan diumumkan kelak.

 

Melapor kepada Ketua Zurich Malaysia Junior Cho, tanggungjawab baharu Nazrul adalah termasuk menerajui keutamaan strategik untuk mengembangkan dan mengukuhkan perniagaan takaful keluarga Zurich.

 

Beliau bukanlah nama asing dalam industri; memiliki lebih 25 tahun pengalaman di mana lebih sedekad adalah dalam industri takaful meliputi jualan dan operasi takaful keluarga dan takaful am.

 

Menurut Cho, beliau mengucapkan terima kasih kepada Mukesh atas komitmen dan sumbangan beliau dalam membina perniagaan insurans hayat dan takaful keluarga sejak beliau menyertai Zurich Malaysia pada Januari 2015. Kami doakan yang terbaik untuk perjalanan karier beliau.”

 

“Pada masa yang sama, kami mengalu-alukan pelantikan Nazrul sebagai CEO Zurich Takaful yang merupakan sebahagian perancangan penggantian dan memupuk bakat kepimpinan tempatan.

 

‘’Nazrul telah mengukuhkan kehadiran jenama Zurich General Takaful dan berjaya mengembangkan perniagaan walaupun berdepan cabaran pandemik.

 

‘’Saya ingin melihat beliau mengetuai pertumbuhan perniagaan secara mapan dengan memenuhi tanggungjawab kami selaras dengan tujuan kami untuk membina masa depan yang lebih cerah dan mengukuhkan lagi kedudukan Zurich Malaysia,” ujar Cho dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Zurich Malaysia merupakan satu daripada dua syarikat insurans yang memiliki keempat-empat lesen insurans dan takaful:

• Takaful Keluarga (Zurich Takaful)

• Takaful Am (Zurich General Takaful)

• Insurans Hayat (Zurich Life Insurance)

• Insurans Am (Zurich General Insurance)

 

Zurich Malaysia mempunyai rangkaian cawangan bersepadu di bandar-bandar utama di seluruh negara dan juga agensi dan saluran pengedaran yang berdedikasi di seluruh negara untuk memenuhi keperluan pelanggan. – DagangNews.com