Negara berdepan kerugian harian RM150-300 juta ekoran PKP 3.0 | DagangNews Skip to main content

Negara berdepan kerugian harian RM150-300 juta ekoran PKP 3.0

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Mei - Penganalisis menyifatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ke atas beberapa kawasan yang melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu dan Perak kurang ‘menyakitkan’ berbanding dua penguatkuasaan sebelum ini. 

 

Berdasarkan ramalan dua penganalisis di CGS-CIMB Research iaitu Ng Lee Fang dan Michelle Chia, Malaysia mungkin mengalami kerugian harian lebih rendah daripada RM300 juta yang dicatatkan semasa PKP 2.0.

 

Bagaimanapun, nilai itu dijangka lebih tinggi daripada RM150 juta, senario nilai kerugian harian oleh CGS-CIMB yang mungkin dipikul negara semasa PKP Bersyarat (PKPB). 

 

“Lanjutan subsidi upah dan pemindahan wang sehingga Jun 2021 selain sokongan dasar sedia ada seperti bantuan bayaran balik bersasar, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kemudahan kredit, sebahagiannya akan mengurangkan impak sekatan pergerakan ini. 

 

“Setelah mengambil kira kemerosotan yang terhad dan andaian konservatif kami ke atas landasan pemulihan, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 5.7% pada 2021,” jelas Lee Fang dan Chia dalam satu nota kajian hari ini. 

 

Semalam, kerajaan mengumumkan Kuala Lumpur; tiga daerah di Johor; 14 mukim di Terengganu dan satu daerah di Perak akan dikuatkuasakan dengan PKP bermula 7 hingga 20 Mei 2021. 

 

Sebelum itu, enam daerah di Selangor sedang menjalani penguatkuasaan PKP bermula 6 hingga 17 Mei depan. 

 

Ini selepas kes jangkitan COVID-19 harian di Malaysia meningkat dengan mendadak dan kembali mencatatkan purata angka 3,000.

 

Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pula mendedahkan bahawa Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjalan seperti dijadualkan, namun Malaysia mungkin tidak mempunyai bekalan vaksin mencukupi untuk memulakan fasa 3 pada Mei ini. 

 

“Kelewatan dalam pelaksanaan Fasa 3 PICK akan memberi impak kepada garis masa untuk negara mencapai imuniti kelompok dan pembukaan semula sempadan negara. 

 

“Oleh itu, ini akan menjejaskan sentimen jangka pendek dan mendorong pelabur untuk mengambil keuntungan ke atas saham-saham pemulihan seperti bank, kenderaan, hartanah, pembinaan dan pelancongan, ekoran bimbang terhadap risiko perolehan dalam jangka masa terdekat serta beralih kepada pemain industri yang bertahan seperti utiliti, telekomunikasi dan pengeluar sarung tangan. 

 

“Kami mengekalkan unjuran KLCI pada 1,699 mata,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com