Nemesis bawa pulang RM10,000 juarai PUBG Mobile di Malaysia Esports League 2022 | DagangNews Skip to main content

Nemesis bawa pulang RM10,000 juarai PUBG Mobile di Malaysia Esports League 2022

Pasukan Nemesis dari Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai juara kategori PUBG Mobile (PUBGM) Peringkat Kebangsaan di Malaysia Esports League 2022 (MEL22).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Nov - Pasukan Nemesis dari Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai juara kategori PUBG Mobile (PUBGM) Peringkat Kebangsaan di Malaysia Esports League 2022 (MEL22) yang berlangsung di ESI Hub, Spacerubix Puchong. 

 

Mereka telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 dan piala pusingan MEL. 

 

Tempat kedua, ketiga dan keempat pula masing-masing dimenangi pasukan dari Perlis, Agent in Pyjamas, pasukan dari Wilayah Persekutuan Putrajaya, Anti Circle dan pasukan dari Kelantan, Gringos Esport. 

 

Mereka juga memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM7,000, RM5,000 dan RM3,000 bagi tempat kedua, ketiga dan keempat.

 

Sebanyak 16 pasukan yang telah memenangi MEL22 Peringkat Liga Negeri bersaing selama dua hari di ESI Hub, Spacerubix Puchong pada 28 dan 29 Oktober 2022 untuk merebut kejuaraan dan hadiah wang terkumpul sebanyak RM25,000. 

 

Sejumlah 6 peta dimainkan pada hari pertama (Erangel > Miramar > Sanhok > Erangel > Miramar > Sanhok), manakala 5 peta dimainkan pada hari kedua (Erangel > Miramar > Sanhok > Miramar > Erangel). 

 

Penerbit permainan PUBGM, Tencent Malaysia juga telah berbesar hati memberi sokongan dari segi penganjuran dan promosi untuk MEL22 Peringkat Kebangsaan.

 

 

pubg

 

 

Tahun ini, MEL dibahagikan kepada 3 siri iaitu Siri MEL22 Regular Series yang terkandung di dalamnya pecahan Liga Negeri dan Liga Kebangsaan yang membariskan 3 judul permainan, antaranya Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBGM) dan Garena Free Fire (FF).

 

Manakala Siri MEL22 Open Series pula dipecahkan kepada 3 judul permainan iaitu Dota 2, FIFA23 dan Valorant; dan Para MEL22 mempertaruhkan hanya 1 judul permainan, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

 

 

pubg

 

 

Dalam MEL22 Regular Series, para pemain sukan elektronik akar umbi akan bertanding di Liga Negeri masing-masing bagi merebut tempat untuk mewakili negeri mereka di Liga Kebangsaan. 

 

Dengan kerjasama Moonton Games, Tencent Malaysia dan Garena, ketiga-tiga penerbit untuk judul-judul permainan MLBB, PUBGM dan FF, pemenang di play-off kebangsaan akan mara ke kejohanan sukan elektronik profesional anjuran ESI, iaitu Kejohanan Esukan Malaysia 2022/2023.

 

 

pubg

 

 

Ia seterusnya berpeluang untuk mempertaruhkan bakat di sirkit profesional di bawah penerbit judul permainan seperti MLBB Pro League Malaysia (MPL MY), PUBGM National Championship (PMNC) dan FF Malaysia/Cambodia/Philippines Majors (FF MCPS Majors). 

 

Selain itu, Para MEL22 pula dijangka akan menjadi permulaan bagi pemilihan atlet bagi kejohanan Sukan ASEAN Para yang bakal berlangsung di Kemboja pada Jun 2023. - DagangNews.com