KUALA LUMPUR 13 Jan - Cabang penjagaan kesihatan, Hong Seng Consolidated Bhd menerusi HS Bio Sdn. Bhd., memeterai perjanjian penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerjasama dengan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaysia (UM).
Perjanjian R&D itu dimeterai melalui anak syarikat penuh HS Bio, NeoGenix Laboratoire Sdn. Bhd.
Pengarah HS Bio dan Pengarah Urusan Kumpulan NeoGenix Lab, Dr. Kuan Chee Sian berkata, syarikat itu dan TIDREC-UM akan bekerjasama dalam projek bio-pemantauan epidemiologi untuk menentukan etiologi penyakit pernafasan akut dan demam di Malaysia.
Beliau berkata, projek penyelidikan itu bertujuan mengkaji punca set dan patogen penyakit demam akut dengan permulaan demam yang cepat dan gejala seperti sakit kepala, menggigil atau sakit otot dan sendi yang biasa berlaku di negara tropika dan sub-tropika seperti Malaysia dan rantau ini.
"Kami komited untuk melakukan yang terbaik untuk menunaikan amanah yang diberikan kepada kami dengan mematuhi kualiti bertaraf dunia dan standard etika tertinggi dalam perkhidmatan kami,” katanya dalam kenyataan.
Dr. Kuan Chee Sian
Menurut Chee Sian, mengambil contoh wabak COVID-19 sebagai penyakit sedemkian, hasil projek penyelidikan akan memberi pemahaman dan pandangan lebih baik tentang corak dan punca penyakit pernafasan.
"Ia juga untuk merancang dan menilai strategi dalam pencegahan dan kawalan dan sebagai panduan kepada pengurusan pesakit yang telah mengalami penyakit.
Tambah beliau, kerjasama tersebut penting bagi meningkatkan kesihatan awam dan mencegah wabak penyakit pada masa hadapan dengan menentukan punca dan akibatnya.
HS Bio terus memacu perniagaan penjagaan kesihatannya ke hadapan dan memperdalamkan lagi keupayaan dalam 'HealthChain', selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerajaan dalam matlamat untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan memanfaatkan teknologi, pendigitilan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan meningkatkan kapasiti penyelidikan, pembangunan dan inovasi.
HealthChain merupakan infrastruktur COVID-19 paling lengkap yang bersedia untuk membantu negara merangkumi segala-galanya daripada proses hadapan dan belakang, logistik fizikal, platform penjagaan kesihatan digital, kemudahan makmal dan perkhidmatan penyelidikan dan pembangunan, serta penyediaan perubatan dan bekalan penjagaan kesihatan. - DagangNews.com