Nestle akan terus berdepan tekanan kos ekoran harga komoditi lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Nestle akan terus berdepan tekanan kos ekoran harga komoditi lebih tinggi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Okt - MIDF Research menjangkakan Nestle (M) Bhd. akan terus berdepan tekanan kos berikutan harga komoditi dan tenaga yang lebih tinggi. 

 

Ini mendorong firma itu menyemak turun harga sasarannya kepada RM137.80 berbanding RM141.50 dengan mengekalkan saranan 'neutral'. 

 

"Namun begitu, kami berpendapat bahawa pertumbuhan pendapatan akan kekal kukuh, disokong sifat rujinya ditambah dengan inovasi produk berterusannya untuk memenuhi pilihan pengguna yang berbeza," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, untung bersih Nestle susut 23.9% kepada RM112.65 juta daripada RM148.02 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Penurunan itu disebabkan harga komoditi yang lebih tinggi dan kadar tukaran asing tidak menguntungkan serta impak daripada bayaran Cukai Makmur.

 

Baca : Untung bersih suku ketiga Nestle susut kepada RM112.65 juta

 

Pendapatan bagaimanapun meningkat 17% kepada RM1.68 bilion pada tempoh itu berbanding RM1.44 bilion yang direkodkan tahun sebelumnya didorong jualan eksport dan dalam negeri yang lebih tinggi, masing-masing meningkat 30.2% dan 13.5%.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, keuntungan bersih meningkat kepada RM487.48 juta daripada RM457.71 juta manakala pendapatan juga meningkat kepada RM5.02 bilion berbanding RM4.27 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

MIDF Research berkata, keuntungan teras bagi tempoh sembilan bulan sebanyak RM519.3 juta adalah memenuhi jangkaannya dan konsensus bagi anggaran penuh tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22). 

 

Katanya, keuntungan selepas cukai (PAT) teras mewakili 74.7% daripada anggaran kami dan 79.7% daripada konsensus, tidak termasuk item potongan sekali sebanyak RM31.8 juta," katanya.

 

"Oleh itu, kami tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran keuntungan kerana ia berada dalam jangkaan.

 

"Harga sasaran kami berdasarkan kepada penilaian berasaskan DDM dengan kadar pertumbuhan kukuh pada 2.5% dan kos purata wajaran modal (WACC) disemak semula sebanyak 5.8% (berbanding sebelum ini, 5.2%)," katanya. - DagangNews.com