Nestlé bekerjasama dengan NGO sumbang 20,000 pek 'Bekalan Nutrisi' kepada keluarga B40 | DagangNews Skip to main content

Nestlé bekerjasama dengan NGO sumbang 20,000 pek 'Bekalan Nutrisi' kepada keluarga B40

Velautham Sanmugam, Ketua Jabatan Hal Ehwal Konsumer Nestlé Products (M) Sdn Bhd menyalurkan sumbangan kepada Siti Khadhijah mewakili Malaysian Relief Agency Pulau Pinang untuk disumbangkan kepada keluarga B40.

 


KUALA LUMPUR 10 Sept. - Dalam usaha untuk memberikan sokongan nutrisi kepada komuniti yang terjejas dan berpendapatan rendah, Nestlé EVERYDAY® telah bekerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project) bagi mengedarkan lebih 20,000 pek "Bekalan Nutrisi" kepada keluarga B40, baru-baru ini.

 

Inisiatif komuniti ini adalah sebahagian daripada kempen "Bekalan Nutrisi" Nestlé EVERYDAY® yang bertujuan mendidik rakyat Malaysia tentang kepentingan pengambilan nutrisi yang baik untuk penjagaan kesihatan, di kala berdepan dengan pelbagai cabaran pandemik COVID-19. 

 

Setiap pek dilengkapi dengan Susu Tepung Nestlé EVERYDAY® 300 gram dan NESTUM® All Family Cereal 250 gram yang dapat membekalkan vitamin dan mineral penting bagi menyokong pertumbuhan kanak-kanak dan kesejahteraan keluarga. 

 

Pemakanan sihat dan seimbang amat penting dalam mengekalkan sistem imunisasi yang baik bagi mencegah, melawan dan memulihkan masalah kesihatan, serta memperkuatkan daya tahan diri.

 

Pegawai Eksekutif Perniagaan, Milks Business Unit, Nestlé (Malaysia) Berhad, Lam Pui Yuee berkata, ini adalah masa yang kritikal untuk memastikan semua rakyat Malaysia, terutamanya keluarga daripada golongan B40 yang kurang berkemampuan atau berpendapatan rendah untuk mendapatkan nutrisi asas. 

 

Katanya, cabaran kewangan dan gaya hidup yang tidak aktif sepanjang tempoh pandemik COVID-19 menyebabkan kebanyakan ahli keluarga dan kanak-kanak terabai dari segi pemakanan yang sihat dan seimbang. 

 

''Harapan kami agar dapat meningkatkan kesedaran dan membawa perubahan yang berkesan, dalam meningkatkan pengambilan nutrisi terutamanya di kalangan komuniti rentan."

 

“Kami di Nestlé menyedari cabaran yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah, yang telah mengakibatkan kekurangan nutrien di kalangan komuniti B40. Komitmen kami terhadap pemakanan sihat dapat dilihat dalam usaha berterusan kami untuk menyediakan produk berkualiti tinggi yang enak, berpatutan dan berkhasiat buat semua rakyat Malaysia dan kami akan terus membantu mereka yang memerlukan,” kata Pui Yuee dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

nestle
Penyelaras Projek Empire, Zaquan Rahmat, Empire Project Coordinator bersama Presiden Belia India Tambun Ipoh, Dinesh Kalippen.

 

 

Menurut kajian yang dilakukan oleh UNICEF dan United Nations Population Fund (UNFPA) bertajuk "Families on the Edge" (Mei 2021)1, terdapat peningkatan dalam tahap kebimbangan terhadap pemakanan dan nutrisi dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah semasa pandemik, di mana masalah kekurangan zat makanan dan obesiti semakin lazim dalam komuniti B40 di Malaysia.

 

Empire Project telah beroperasi sejak empat tahun yang lalu dan berfungsi sebagai NGO bebas yang menjalankan aktiviti kebajikan di seluruh Malaysia termasuk Bantuan Bank Makanan COVID -19 dan pemberian makanan kepada golongan gelandangan. 

 

Pengasas Empire Project, Mohd Ashraff Khan berkata, pandemik COVID-19 telah memberi kesan negatif kepada keluarga berpendapatan rendah, serta mengakibatkan kesan yang buruk terhadap kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak. Bilangan mereka yang memerlukan bantuan makanan telah meningkat sebanyak tiga kali ganda berbanding tahun lalu. 

 

Selain itu, Nestlé juga bekerjasama dengan ElewsMart untuk memudahkan rakyat Malaysia menyumbang ke arah kebajikan. Dengan pembelian minimum sebanyak RM15 dan ke atas bagi mana-mana produk susu Nestlé, iaitu NESTLÉ EVERYDAY®, NESTLÉ OMEGA PLUS®, NESPRAY® dan NESTUM® di cawangan ElewsMart di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur, pelanggan akan menerima satu pek ‘Bekalan Nutrisi' (sementara stok masih ada) yang boleh juga didermakan kepada pihak ElewsMart untuk tujuan pengagihan bank makanan.

 

Sila layari https://www.dearnestle.com.my/milks-bekalan-nutrisi untuk maklumat lanjut mengenai kempen 'Bekalan Nutrisi'. - DagangNews.com