Nestle Malaysia tingkat jumlah stok bagi penuhi permintaan pasaran - Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Nestle Malaysia tingkat jumlah stok bagi penuhi permintaan pasaran - Affin Hwang

KUALA LUMPUR 18 Mei - Affin Hwang Investment Bank menjangkakan Nestle Malaysia akan meningkatkan jumlah stok inventori mereka bagai memastikan bekalan sentiasa mencukupi dalam memenuhi permintaan pengguna.

 

Firma itu berkata, perbelanjaan COVID-19 oleh Nestle Malaysia untuk tahun ini berkemungkinan lebih rendah secara drastik berbanding RM93 juta yang dibelanjakan pada 2021 kesan daripada pembukaan semula aktiviti perniagaan dengan Malaysia sedang melangkah ke fasa endemik.

 

"Bagi mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi, Nestle Malaysia telah meningkatkan harga produk secara beransur-ansur sejak separuh kedua tahun 2021 dan menilai secara konsisten harga produk untuk mengekalkan kemampuan dan kesediaan produknya untuk pengguna," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pihaknya mengunjurkan perolehan Nestle akan disumbangkan daripada prestasi pada separuh pertama 2022 yang dipacu oleh antara lain perbelanjaan sewaktu Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

 

"Selain itu, pertumbuhan menyeluruh merentas pasaran domestik dan eksport dan pelonggaran peraturan sekatan untuk meningkatkan penggunaan luar rumah serta perniagaan hotel, restoran dan kafe yang bertambah baik.

 

"Memasuki separuh kedua 2022, pendapatan mungkin akan terkesan disebabkan oleh kelembapan margin keuntungan yang berpunca daripada peningkatan kos bahan mentah dan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang sekali gus meningkatkan kos import.

 

"Oleh itu, kami mengunjurkan pendapatan Nestle Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 4.5% sepanjang 2021 hingga 2024," katanya.

 

Mengenai kesan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 bermula 1 Mei 2022, firma itu berkata, majoriti pekerja di Nestle Malaysia memperoleh pendapatan lebih daripada paras gaji minimum baharu itu.

 

"Oleh itu, kenaikan gaji minimum dijangka mempunyai kesan kecil kepada pendapatan kumpulan itu," katanya. - DagangNews.com