KUALA LUMPUR 9 Nov – Astro hari ini mengumumkan ‘Pengalaman Baharu Astro’, yang mana membolehkan pelanggan untuk mengakses kepada saluran Netflix di TV Astro dan menikmati lebih nilai serta penjimatan menerusi pek-pek langganan terbaharu yang diperkenalkan ini.
Pek-pek terkini Astro ini direka khas untuk para pelanggan yang gemarkan dunia penstriman dan sentiasa berhubung di antara satu sama lain, membenarkan mereka untuk strim segala program kegemaran masing-masing menerusi Ultra Box, dan akan datang di Ulti Box.
Kini, pelanggan boleh menikmati program-program popular kegemaran masing-masing menerusi satu platform utama Astro; dari perkhidmatan penstriman terkemuka dunia seperti Netflix, Disney+ Hotstar, HBO GO, iQIYI, TVBAnywhere+ ke program-program kebanggaan Astro dan acara sukan berprestij dunia secara langsung, semuanya ini menerusi skrin besar dan alat peranti masing-masing.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Astro & Ketua Pegawai Eksekutif TV Astro, Euan Smith berkata, Astro sentiasa peka dan dengar akan kehendak pelanggan, justeru kami memperkemaskan dan hari ini memperkenalkan pengalaman baharu Astro, khas buat pelanggan yang menginginkan sesuatu yang mampu menepati kehendak mereka, dengan menawarkan lebih banyak pilihan menerusi kepelbagaian kandungan yang lebih hebat dan menarik, namun begitu pada masa yang sama memiliki faktor lebih nilai.
‘’Kami akui, sejak kebelakangan ini, kesederhanaan telah menjadi teras utama kami di Astro, justeru kami telah mempergiatkan usaha untuk mentransformasikan keseluruhan pengalaman Astro secara holistik kepada lebih mudah, ringkas, menjadi platform utama pilihan pelanggan, dan memastikan setiap dari mereka dapat menikmati variasi hiburan dengan lancar.
‘’Ciri-ciri terkini dan menarik yang hadir pada Ultra Box ini membolehkan pelanggan menikmati lebih banyak program-program tempatan dan acara sukan berprestij secara langsung dari skrin Astro, dan kini disertakan sekali bersama Netflix Originals, filem dan dokumentari.
‘’Edisi terbaharu ini akan menyertai kolaborasi sedia ada kami di antara Disney+ Hotstar, HBO GO, iQIYI dan TVBAnywhere+, serta banyak lagi perkhidmatan penstriman terkemuka yang akan turut bekerjasama di masa akan datang,” katanya.
Menurut Euan lagi, Astro merupakan yang pertama di rantau ini melancarkan perkhidmatan keupayaan 4K High Dynamic Range dan Dolby Atmos bagi membolehkan peminat sukan menikmati pengalaman tontonan bertaraf premium dengan kejelasan kristal dalam versi 4K UHD.
Pengarah Komersial Astro, Azlin Arshad, menjelaskan, pek-pek baharu kami ini hadir dengan kontrak perjanjian yang cukup fleksibel, sama ada 0, 12 atau 24 bulan langganan, terpulang kepada pilihan yang mampu menepati kehendak pelanggan.
‘’Tambah menariknya lagi, kami ingin turut menjemput pelanggan untuk mendaftar pakej jalur lebar kami, dan nikmati akses Netflix secara komplimentari selama 3 bulan*.”
Pakej-pakej terbaharu Astro ini adalah Pek ‘Primary’, ‘Entertainment’, ‘Sports’, ‘Movies’, ‘Entertainment Plus’, ‘Premium 1, 2, 3’ dan ‘Platinum’.
Untuk Pek ‘Entertainment Plus’, ‘Premium 2, 3’ dan ‘Platinum’, ia akan disertakan bersama Netflix, dan sajian kandungan dari Korea serta rancangan-rancangan Seram, serta variasi hiburan seperti HGTV HD, Cartoon Network HD dan program-program terhebat Asia.
Pengalaman Baharu Terhebat Astro ini direka khas untuk menggalakkan pelanggan strim program-program kegemaran masing-masing di satu platform utama, dengan antara muka yang intuitif, dan semuanya ini dalam satu bil sahaja. – DagangNews.com