Niaga hadapan minyak sawit Malaysia cecah setinggi RM5,000 pada Selasa | DagangNews Skip to main content

Niaga hadapan minyak sawit Malaysia cecah setinggi RM5,000 pada Selasa

 

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. -  Harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) Bursa Malaysia meningkat kepada RM5,000 satu tan buat pertama kalinya pada Selasa selepas komoditi itu diniagakan sebanyak RM162 sebelum kenaikannya mengukuh pada dagangan petang.

 

Ketika ditutup semalam, MSM untuk Oktober 2021 berakhir pada pada RM4,975 satu tan metrik setelah diniagakan antara RM4,850 dan RM5,000 satu tan metrik.

 

Menurut laporan Bernama, kontrak niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatif ditutup pada paras tertinggi pada Selasa selepas didorong oleh bekalan yang terhad dan permintaan kukuh dari China.

 

Penanda aras bagi kontrak minyak sawit untuk Disember 2021 melonjak sebanyak RM155 kepada RM4,738 setan.

 

Peniaga Minyak Sawit, David Ng memberitahu, kenaikan permintaan dari China, yang berada dalam krisis bekalan tenaga, dapat meningkatkan pengambilan minyak sawit untuk bahan api bio.

 

"Harga minyak mentah yang kukuh turut merangsang sentimen di pasaran," katanya kepada agensi berita berkenaan.

 

Penanda aras minyak mentah Brent menokok 1.21% kepada AS$82.33 setong.

Pada penutup, kontrak niaga hadapan MSM untuk Oktober 2021 mengukuh sebanyak RM137 kepada RM4,975 satu tan metrik, November 2021 naik RM163 kepada RM4,855 satu tan metrik, Januari 2022 meningkat RM149 kepada RM4,646 satu tan metrik, Februari 2022 serta Mac 2022, masing-masing melonjak sebanyak RM154 kepada RM4,558 dan RM4,465 satu tan metrik.

 

Jumlah dagangan bertambah kepada 82,367 lot berbanding 44,339 lot yang dicatatkan pada Isnin, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 256,608 kontrak daripada 226,325 kontrak.

 

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan adalah RM110 lebih tinggi pada RM4,960 satu tan metrik.

 

Sementara itu, dalam nota kajian, CGS-CIMB mengunjurkan harga minyak sawit mentah masih kekal utuh sekitar RM3,500 hingga RM4,500 satu tan metrik pada Oktober 2021.

 

"Kami turut mengekalkan unjuran harga bagi 2021, 2022 dan 2023 masing-masing pada RM3,700, RM2,900 dan RM2,800 satu tan metrik," katanya. 

 

Bagaimanapun, firma tersebut mengunjurkan paras inventori minyak sawit mentah dijangka susut 2.5% bulan ke bulan kepada 1.83 juta tan metrik setakat akhir September 2021. - DagangNews.com