KUALA LUMPUR 12 Dis - Nilai jualan sektor pembuatan di Malaysia pada Oktober 2022 meningkat 12.9% kepada RM158.9 bilion berbanding tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pertumbuhan berterusan dua digit bagi nilai jualan pada bulan tersebut dipacu terutamanya subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 23.8% diikuti produk peralatan elektrik & elektronik (16.6%) dan makanan, minuman dan tembakau (4.6%).
Jumlah pekerja sektor pembuatan pada Oktober turut meningkat 3.6% kepada 2.32 juta orang berbanding 2.24 juta orang bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor peralatan elektrik & elektronik (5.6%), produk makanan, minuman dan tembakau (4.3%) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (2%).
"Selari dengan peningkatan pekerja, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan meningkat 4.8% kepada RM7.88 juta.
"Nilai jualan per pekerja meningkat 9% kepada RM68,441 berbanding bulan yang sama tahun lalu manakala purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,395," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, nilai jualan sektor pembuatan melonjak 17.1% kepada RM1.49 bilion berbanding tempoh yang sama 2021.
Pada masa sama, bilangan pekerja meningkat sebanyak 3.6% kepada 2.32 juta orang dengan gaji & upah berkembang 5.3% kepada RM78.1 bilion.
Untuk tempoh tersebut, nilai jualan per pekerja merekodkan RM639,852 dengan pertumbuhan 13% tahun ke tahun. - DagangNews.com