Nilai jualan sektor pembuatan merosot 3.3% kepada RM152.3 bilion pada Ogos 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Nilai jualan sektor pembuatan merosot 3.3% kepada RM152.3 bilion pada Ogos 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Okt - Nilai jualan sektor pembuatan mencatatkan penurunan sebanyak 3.3% tahun ke tahun kepada RM152.3 bilion pada Ogos 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan sektor pembuatan terus merosot selepas merekodkan negatif 3% pada bulan sebelumnya. 

 

Katanya, penurunan tersebut dipengaruhi terutamanya oleh subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik yang menurun 12.1%, mencatatkan penurunan dua digit selama tiga bulan berturut-turut. 

 

"Tambahan lagi, kemerosotan ini juga disumbangkan oleh penyusutan dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (-6.6%) dan produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (-0.1%). Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan pulih kepada 5.8% berbanding negatif 2.4% yang dicatatkan pada Julai 2023," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut DOSM, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi 72.7% daripada jumlah jualan, menurun 6.7% pada Ogos 2023 berbanding 7% pada Julai 2023).

 

Penguncupan ini disebabkan terutamanya oleh industri pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-19.7%); pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (-15.1%) dan pembuatan produk getah (-8.8%). 

 

Sebaliknya, kemerosotan dalam nilai jualan dikurangkan oleh industri berorientasikan domestik secara berterusan, dengan pertumbuhan 7.2% pada Ogos 2023 berbanding 9.1% pada Julai 2023.

 

 

dosm

 

 

"Kestabilan momentum ini sebahagian besarnya disokong oleh peningkatan kukuh dalam nilai jualan industri pembuatan kenderaan bermotor, treler & semi treler yang melonjak sebanyak 15%, serta industri pembuatan produk logam, kecuali mesin & kelengkapan pada 10.4%. 

 

"Tambahan lagi, industri pembuatan produk galian bukan logam lain dan pembuatan prosesan produk makanan meningkat masing-masing sebanyak 7.1% dan 6%. Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing berkembang sebanyak 6.7% dan 3.5%.

 

Mengulas mengenai bilangan pekerja, Mohd Uzir berkata, sektor pembuatan melibatkan seramai 2.36 juta orang pada Ogos 2023, mencatatkan peningkatan 2% berbanding 2.31 juta orang yang direkodkan setahun lalu. 

 

Katanya, penambahan itu sebahagian besarnya disumbangkan dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (6.2%); produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (2.6%); dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (2.2%). 

 

"Berbanding bulan sebelumnya, bilangan pekerja dalam sektor ini meningkat secara marginal sebanyak 0.6%. Selaras dengan itu, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga meningkat sebanyak 3% tahun ke tahun, dengan sejumlah RM8 bilion pada Ogos 2023," katanya.

 

Katanya, bagi perbandingan bulan ke bulan, gaji & upah meningkat 0.9% daripada RM7.9 bilion yang direkodkan pada Julai 2023. Tambahan lagi, purata gaji & upah bulanan bagi setiap pekerja mencatatkan kenaikan sebanyak 1% dengan nilai RM3,397 manakala nilai jualan bagi setiap pekerja jatuh sebanyak 5.2% kepada RM64,660.

 

Beliau berkata, nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM1,184.8 bilion, berkembang sebanyak 1.7% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

 

Pada tempoh tersebut katanya, bilangan pekerja meningkat sebanyak 2% untuk merekodkan seramai 2.36 juta orang manakala gaji & upah meningkat 3.7%, mencatatkan RM64.6 bilion. 

 

"Sementara itu, nilai jualan per pekerja merosot sedikit sebanyak 0.2%, dengan jumlah RM503,093," katanya. - DagangNews.com