KUALA LUMPUR 8 Nov - Nilai kerja sektor pembinaan melonjak sebanyak 9.6% dengan sejumlah RM33.4 bilion pada suku ketiga 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai kerja sektor pembinaan terus mengekalkan momentum positif untuk suku keenam berturut-turut dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 9.6% pada suku ketiga 2023.
Beliau berkata, momentum itu dipacu pertumbuhan dua digit dalam subsektor kejuruteraan awam yang meningkat 17.1% serta peningkatan ketara dalam aktiviti pertukangan khas sebanyak 16.2%.
Katanya, bangunan kediaman turut menyumbang kepada pertumbuhan dengan merekodkan sebanyak 7.9%.
"Pada masa yang sama, subsektor bangunan bukan kediaman mengalami penurunan marginal sebanyak 0.7% berbanding dengan pertumbuhan sebanyak 5.7% pada suku sebelumnya," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Mohd Uzir, daripada RM33.4 bilion yang dicatatkan pada suku ketiga 2023, sejumlah RM13.5 bilion atau 40.5% daripada nilai kerja sektor pembinaan adalah dalam kejuruteraan awam.
Katanya, peningkatan itu disumbangkan terutamanya aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api dengan pertambahan sebanyak 22.1% atau berjumlah RM7.4 bilion.
"Sementara itu, nilai kerja pembinaan bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing sebanyak RM9.2 bilion (27.5%) dan RM7.3 bilion (21.9%).
"Aktiviti pertukangan khas menyumbang RM3.4 bilion (10%), terutamanya dalam aktiviti pemasangan sistem paip, pemanasan dan pendingin udara (RM1.1 bilion); serta pemasangan elektrik (RM0.9 bilion)," katanya.
Sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pada suku ini, dengan peningkatan sebanyak 8.6% yang disumbangkan aktiviti pertukangan khas (26.5%) dan kejuruteraan awam (10.2%).
Nilai kerja sektor swasta berjumlah RM19.6 bilion atau 58.5% daripada nilai kerja pembinaan keseluruhan.
Sebaliknya, sektor awam dengan sumbangan sebanyak 41.5% atau RM13.9 bilion, melonjak dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 10.9% berbanding penurunan 4.8% pada suku sebelumnya.
Pemulihan itu dipacu aktiviti kejuruteraan awam (19.2%) dan bangunan kediaman (14.8%) masing-masing sebanyak RM10.6 bilion dan RM0.5 bilion.
Mohd Uzir berkata, hampir 60% daripada nilai kerja pada suku ketiga tahun 2023 tertumpu di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Sarawak dan Johor.
Katanya, nilai kerja pembinaan di Selangor berjumlah RM8.1 bilion atau 24.2%, disumbangkan kejuruteraan awam (RM2.8 bilion), diikuti bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman masing-masing sebanyak RM2.2 bilion.
"Sementara itu, Wilayah Persekutuan yang berada di kedudukan kedua dengan nilai sebanyak RM4.3 bilion atau 12.8%, terutamanya dalam aktiviti bangunan kediaman (RM1.7 bilion) dan bangunan bukan kediaman (RM1.4 bilion).
"Tambahan pula, nilai kerja pembinaan di Sarawak adalah sebanyak RM3.8 bilion (11.4%) dan Johor mencatatkan RM3.5 bilion (10.6%)," katanya.
Merumuskan prestasi nilai kerja pembinaan bagi tiga suku tahun pertama 2023, mencatatkan nilai sebanyak RM98 bilion, dengan peningkatan sebanyak 9% berbanding dengan tempoh yang sama pada 2022.
Pertumbuhan positif ini didorong terutamanya oleh sumbangan signifikan dalam aktiviti kejuruteraan awam (14.9%). - DagangNews.com