Nilai kerja pembinaan meningkat 8.1% kepada RM32.4 bilion pada suku kedua 2023 – DOSM | DagangNews Skip to main content

Nilai kerja pembinaan meningkat 8.1% kepada RM32.4 bilion pada suku kedua 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Sektor pembinaan Malaysia terus berkembang pada suku kedua 2023, mencatatkan peningkatan 8.1% dengan nilai kerja pembinaan berjumlah RM32.4 bilion (1Q 2023: 9.4%), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata nilai kerja sektor pembinaan terus meningkat bagi suku kelima, terus disokong oleh pertumbuhan dua digit dalam kejuruteraan awam pada 10.4% dalam suku ini (1Q 2023: 17.2%).

 

“Pada masa yang sama, subsektor aktiviti pertukangan khas mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi pada suku ini sebanyak 9.8% berbanding 9% dalam suku sebelumnya, manakala subsektor bangunan bukan kediaman meningkat secara sederhana sebanyak 5.7% (1Q 2023: 9.6%).

 

“Tambahan pula, nilai kerja pembinaan dalam subsektor bangunan kediaman pulih kepada 6.9% daripada negatif 2.2% yang dicatatkan pada suku sebelumnya,” ulas beliau mengenai laporan Statistik Pembinaan Suku Kedua 2023 yang diterbitkan hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, sejumlah RM12.1 bilion atau 37.4% daripada nilai kerja pembinaan disumbang oleh kejuruteraan awam, terutamanya oleh aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api bernilai RM6.5 bilion pada suku dalam tinjauan.

 

Sementara itu, nilai kerja pembinaan bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing sebanyak RM9.9 bilion (30.7%) dan RM7.3 bilion (22.7%), di mana kedua-dua aktiviti pembinaan ini meliputi lebih separuh daripada nilai kerja pembinaan pada suku ini, merangkumi 53.4%.

 

 

dosm

 

 

Aktiviti pertukangan khas pula berjumlah RM3 bilion (9.2%), sebahagian besarnya dalam aktiviti pemasangan sistem paip, pemanasan, dan pendingin udara (RM900 juta), serta pemasangan elektrik (RM800 juta).

 

Mengulas mengenai prestasi sektor pembinaan mengikut pemilik projek, Mohd Uzir berkata sektor swasta kekal sebagai pendorong utama pertumbuhan dengan peningkatan 17.3% (1Q 2023: 10.6%).

 

“Nilai kerja oleh sektor swasta berjumlah RM20.4 bilion atau 63.1% daripada jumlah nilai kerja pembinaan. Bagaimanapun, sektor awam dengan sumbangan sebanyak 36.9% atau RM11.9 bilion, mengalami penurunan 4.8% pada suku ini (1Q 2023: 7.4%),” tambahnya.

 

Prestasi sektor pembinaan mengikut negeri pula menyaksikan hampir satu per empat atau 23.3% daripada nilai kerja pembinaan pada suku kedua 2023 tertumpu di Selangor yang berjumlah RM7.5 bilion.

 

Mohd Uzir berkata nilai kerja pembinaan yang tertinggi di Selangor adalah kejuruteraan awam (RM2.4 bilion), diikuti bangunan kediaman (RM2.3 bilion) dan bangunan bukan Kediaman (RM2.1 bilion).

 

“Sementara itu, Johor di tempat kedua dengan nilai sebanyak 11.9% atau RM3.8 bilion, disokong terutamanya oleh subsektor bangunan bukan kediaman (RM1.4 bilion) dan kejuruteraan awam (RM1.3 bilion).

 

“Dalam pada itu, nilai kerja pembinaan di Wilayah Persekutuan sebanyak RM3.7 bilion (11.5%) dan Sarawak dengan RM3.4 bilion (10.5%),” ujar beliau. - DagangNews.com